Oleh Tun Puteh Wanti
KELANA JAYA : Koperasi terbabit dengan makanan kini berpeluang memohon dana RM500 juta ‘Agro Food Facilities’ di bawah Bank Negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, dana itu penting dalam usaha kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan banyakkan pengeluaran makanan.
Beliau berkata, semalam satu mesyuarat diadakan dan dana yang sebelum ini dibuka kepada syarikat- syarikat sudah dipersetujui dibuka kepada koperasi yang terbabit dalam makanan.
“Dalam senarai kita ada 15 koperasi yang jalankan ternakan ayam, mereka berjaya hasilkan 24 juta ternakan ayam.
“Ada koperasi hasilkan makanan haiwan ternakan dan semua ini boleh memohon dana berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ANGKASA di perkarangan ibu pejabat ANGKASA.
Turut hadir, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Beliau ketika ditanya adakah harga barangan koperasi akan kekal walaupun berlaku inflasi, isu bekalan dan isu matawang jatuh, jelasnya menerusi subsidi diberi kerajaan harga barangan kekal malah diturunkan untuk manfaat rakyat.
“Sebanyak 500 Coopmart menyediakan barangan dengan harga berpatutan dan murah selepas mendapat subsidi yang diagihkan kerajaan,” katanya.