Oleh Tun Puteh Wanti
CHAN SOW LIN : Biasanya kraftangan gelang emas ‘charm’ atau pandora yang ada di pasaran ketika ini berkiblatkan barat, seperti jambatan London atau menara Paris.
Jarang ada perhiasan wanita khususnya berasaskan emas ini mengambil lambang sejarah, warisan, keseniaan dan budaya Tanah Melayu sebagai rekaan mereka.
Atas semangat sayangkan cintakan sejarah, budaya, keseniaan dan warisan Malaysia, Dewan Perniagaan Wanita Islam Malaysia (DEWI) semalam telah memperkenalkan rekaan eksklusif imej Malaysia menerusi gelang charm Links Of Malaysia (LOM) dan Loads Of Love (LOL).
Bertemakan Cinta, Ukhwah, Dewi, rekaan ini diperkenalkan melalui platform pembuat barangan kemas, Nayli B Jewels.
Pengerusi Kehormat DEWI, Datin Raskidah Ali berkata, antara rekaan eksklusif kraftangan emas ini adalah Gong, Wau, Bunga Raya, JDT Stadium dan apa sahaja yang menggambarkan Malaysia boleh seperti manggis, durian.
“Untuk tempahan boleh siap antara tujuh hingga 14 hari tetapi ada beberapa rekaan sudah tersedia untuk dibeli.
“Ada warga asing sanggup membelanjakan sehingga RM10,000 beli beberapa rekaan untuk gelang charm ini sebagai kenangan dia pulang ke negaranya.
“Usahawan DEWI ramai tertumpu dengan fesyen dan lain-lain tetapi menerusi projek ini juga kita hendak galakkan lebih ramai usahawan DEWI terbabit dalam perniagaan emas kerana ia pelaburan yang takkan rugi walau apa juga situasi.
“DEWI dengan kerjasama rakan strategik dijangka akan menyediakan kursus seni reka barang kemas dalam waktu terdekat,” katanya pada sidang media di pusat pameran dan jualan emas Nayli B Jewels di Wisma TRAX petang semalam.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), merangkap Pengerusi UK Gold Sdn Bhd, Dato Seri Halim Ishak.
Juga hadir, Pengarah UK Gold Sdn Bhd yang juga Pengarah Program dan Keusahawanan UK Gold, Prof Dato’ Dr Azahari Othman yang juga dikenali sebagai Dr Luv dan Timbalan Presiden Malaysia International Development Association of Malaysia (MiTDA), Dato’ Rosmadi Ghazali.
Halim berkata, sepanjang pandemik ramai usahawan terjejas tetapi usahawan emas masih bertahan dan ia membuktikan perniagaan emas lebih menjamin keselamatan ekonomi dan keluarga.
“Di UK Gold Sdn Bhd, disamping membekalkan emas, kami ada program beli dan simpan.
“Kita ada program simpanan untuk pelbagai tujuan seperti kahwin, pendidikan dan lain-lain untuk masa depan rakyat. Program lain adalah pelaburan, pengedar, ejen, ahli mendapatkan ahli dan keusahawanan.
” Kesemuanya diadakankan dalam persekitaran digital dan pematuhan syariah.
“Kenapa kami mahu berkolaborasi dengan DEWI adalah kerana produknya ada nilai sayang negara dengan menggunakan kepakaran tempatan bukan luar.
“Tak mustahil juga satu hari nanti, matawang akan diubah menjadi dinar emas untuk lebih selamat dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi dan politik,” katanya.
Berkaitan kolaborasi dengan sektor pelancongan, MiTDA menerusi Investment Tourism Association of Malaysia (ITAM), Rosmadi berkata MiTDA yang juga rakan strategik kepada MOTAC bertanggungjawab menarik seramai 30 juta pelancong ke negara ini.
” Jika seorang berbelanja sebanyak RM4k negara akan dapat hasil dari tourist receipts sebanyak RM120 bilion tidak termasuk dari spill over effect yang lain termasuk program emas yang dilancarkan semalam.