Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui dirinya berketurunan India, malah tidak menafikan dakwaan itu terhadapnya.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bagaimanapun mengancam untuk mengambil tindakan saman terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mempertikaikan status kaumnya sebagai orang Melayu.
Tun Mahathir menegaskan, meskipun tidak menafikan mempunyai darah berketurunan India, namun hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan tertera namanya iaitu Mahathir bin Mohamad.
Ia turut dinyatakan di dalam buku beliau, malah menjelaskan, mengikut takrifan Perlembagaan (Perkara 160), beliau adalah Melayu.
“Saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.
“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum merdeka dan kami semua beragama Islam. Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” katanya menerusi hantaran dimuatnaik di Facebooknya, hari ini.
Tun Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, beliau akan membuat pertimbangan wajar berhubung tindakan saman yang akan dibuat terhadap Ahmad Zahid berhubung pertikaian itu.
Ia berikutan, Tun Mahathir semakin muak dengan pembohongan Ahmad Zahid yang amat memualkan, dan ia tidak boleh dibiar begitu sahaja.
“Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja. Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya.
“Zahid ini penipu. Orang putih kata “compulsive liar”, pembohong tegar. Dulu semasa kempen pilihanraya umum ke-14, dia keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.
“Dia dakwa bahawa IC (kad pengenalan) biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya (Ahmad Zahid) oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.
“Dakwaan ini dibuat Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri,” dakwanya.
Pada masa yang sama, mantan Perdana Menteri itu menyindir Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kerana dakwaan yang timbul masih tidak bersertakan bukti pada khalayak ramai, malah selepas pilihan raya kecil terbaharu yang lalu.
“Dia (Ahmad Zahid) nak burukkan saya sedemikian untuk mempamer kepada umum yang saya menipu mengenai status bangsa saya.
“Dengan itu dia mahu pertikai kelayakan saya pimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya.
“Kononnya saya “anak lelaki” dan bukan “bin”, jadi saya ini bukan Melayu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Tun Mahathir berkata, beliau tidak gemar menggunakan perundangan mahkamah bagi mempertahankannya dirinya, biarpun mendakwa dilempar pelbagai fitnah.
“Saya sedar di dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.
“Saya sedang pertimbang untuk ambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Zahid yang memfitnah saya.
“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.
“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” menurutnya.
Tun Mahathir mengulas tindakan saman yang bakal dikenakan terhadap Ahmad Zahid itu, susulan samannya terhadap beliau atas dakwaan fitnah berhubung beberapa pertemuannya ketika masih menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk berjumpa Ahmad Zahid di mahkamah dan telah mengarahkan peguamnya menyampaikannya.