Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Sudah seminggu Aidilfitri disambut, kehangatan hari raya dalam negara masih lagi terasa lagi-lagi warga kota yang pulang ke kampung halaman setelah dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta akibat pandemik COVID-19.
Malah, ada antara mereka merebut peluang memanjangkan tempoh bercuti kali ini untuk lebih lama bersama dengan keluarga, selain melancong di beberapa tempat dalam negara.
Manakan tidak, kesempatan inilah yang dicari kerana dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 dilaksanakan menyebabkan hampir seluruh pusat pelancongan tidak dibenarkan untuk dilawati.
Begitu juga penulis, hari raya Aidilfitri tahun ini, bukan sahaja dapat bersama keluarga sendiri dan mentua di Selangor dan Johor, malah dapat melancong ke Pulau Pinang dengan kali pertama memilih perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) sebagai perjalanan utama bagi tempoh itu.
Bukan sahaja seronok menaiki keretapi berkelajuan tinggi, malah menjimatkan masa dan tenaga, memandangkan penulis sudah menjangka kesesakan lalu lintas jalan raya pada Aidilfitri kali ini pasti berlaku lebih dahsyat dek kerana dua tahun tidak beraya.
Bagaimanapun, keseronokan itu ‘direntap’ seketika hanya kerana sekeping beg plastik ‘kayangan’ berharga RM1, sewaktu membeli-belah di Pulau Pinang.
Ia kerana dasar kerajaan Pulau Pinang yang memperbaharui nilai caj beg plastik daripada 20 sen kepada RM1 sekeping, yang dimaklumkan kepada penulis, ia dikuatkuasakan pada Januari 2021.
Penulis sebagai pelancong di negeri itu, terkejut kerana nilai yang dikenakan satu beg plastik bukan sedikit, berbanding beberapa negeri lain yang masih mengenakan caj serendah 20 sen sekeping.
Ada juga pengusaha kedai runcit tidak mengenakan caj beg plastik berkenaan, mungkin kerana penulis memperkenalkan diri sebagai pelancong dari Johor ke negeri itu dan pengusaha berkenaan agak kasihan.
Difahamkan, peningkatan harga ini adalah antara usaha bagi mengalakkan pengguna membawa beg sendiri dari rumah, dan mengurangkan penggunaan beg plastik selain disediakan antara hari Khamis ke Ahad sahaja kecuali Isnin dan Rabu.
Hairannya, penguatkuasaan itu berlaku ketika pandemik, tempoh rakyat sedang bertungkus-lumus bangkit mengumpul wang kerana masih ramai lagi yang dilanda kegawatan ekonomi domestik disebabkan PKP.
Sebenarnya ia bukanlah dasar baru. Ia juga telah dilaksanakan di Melaka, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan.
Banyak bandar, negeri dan negara juga menjalankan dasar hampir sama termasuk Denmark, Ireland, Itali, Jerman, China, Australia dan ratusan majlis bandar raya di Amerika Syarikat.
Semuanya dibuat dengan niat baik iaitu memelihara dan memulihara alam sekitar. Ini ditambah pula dengan dakwaan bahawa beg plastik tidak mudah dilupuskan dan boleh memakan masa berdekad-dekad, malah mungkin sehingga 1,000 tahun.
Bagaimanapun, adakah penggunaan beg plastik ini masih wajar jika mahu memelihara alam sekitar? dengan nilai kadar dikenakan semakin tinggi?
Bagi yang berkemampuan, atau yang mencintai alam sekitar mungkin ia tidak menjadi masalah. Namun ia hanya melibatkan kelompok kecil. Bagaimana pula dengan yang tidak mampu dan belum ada tahap kesedaran diri tinggi bermula di peringkat akar umbi hingga ke pihak atasan?
Pelbagai reaksi diberikan oleh rakyat antaranya mencadangkan supaya membawa beg sendiri dari rumah, atau menukar dari beg plastik kepada beg kertas, malah menghentikan terus penggunaan beg plastik daripada menguntungkan kilang plastik yang tidak membawa sebarang manfaat kepada alam sekitar.
Ada juga yang mahukan penjelasan, jika mahu mengurangkan plastik bagaimana untuk mengumpul sisa pepejal ke dalam tong sampah yang diangkut pekerja pembersihan? malah mendakwa kerajaan negeri menambah lagi kilang plastik, dan mempersoal sama ada wang itu disalurkan kepada badan alam sekitar.
Rakyat seperti tidak kisah jika mahu membawa beg pembungkus dari rumah, namun mahu penjelasan lebih signifikan berhubung caj rm1 bagi beg plastik yang masih lagi digunakan.
Izaidee Ikhwan Zulakhman
Klu boleh declare every plastik yg dicaj tu.. kemudian jumlah tu disalurkan kpd badan yg menjaga alam sekitar
Mohd Shamsudin
Heran la, singaproe negara kecik dan maju, tapi depa tak haramkan pun pengunaan bag plastik, kalau nak ikut tempat pelupusan sampah kurang, depa lagi kecik nak buat tempat lupus.. nampak sangat kerajaan negeri nak buat duit senang atas nama go green..hampa ingat bila haramkan plastik kononnya negeri maju dan green la.. kemajuan bukan hanya terletak kepada pengharaman bag plastik..
Heruan Shah
Plastik kayangan
Syawal Jmg
Better haramkan terus beg plastik dr buat bisnes jual beg plastik
Krish
The best is gov ban the plastic and give all the paper bag
Nuelee Ericy Liv
Ada perempuan cina ni..masa dia nak bayar dia buat muka terkejut aiyaa Mahal nyaaa..sebab brg dia banyak doh..
Penulis teringat artikel yang dikarang oleh pengarang Berita di BH, Fazli Abdullah bertajuk ‘Caj 20 sen beg plastik beri mesej salah’ siaran 18 April 2019, beliau juga bos kepada penulis ketika masih di syarikat media itu.
Beliau melontarkan pendapatnya apabila Pulau Pinang ketika itu melaksanakan larangan penggunaan beg plastik konvensional bertujuan mendidik orang ramai supaya mengurangkan penggunaannya untuk menjamin kelestarian alam sekitar.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, caj dua kupang itu memberi mesej salah kepada orang ramai berhubung kempen melarang penggunaan beg plastik konvensional. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Kalau benar mahu melarang penggunaan beg plastik, jangan benarkan pasar raya dan peniaga menyediakannya.
Jangan pula ambil kesempatan daripada sikap tidak peduli orang ramai yang tidak kisah membayar 20 sen untuk membiarkan pihak lain meraih keuntungan.
Caj 20 sen beg plastik beri mesej salah, bagaimana pula caj RM1?
Pada 2017, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar ketika itu bagaimanapun pernah menyelar pula kerajaan Selangor supaya mengharamkan terus penggunaan beg plastik, bukannya mengenakan caj 20 sen kepada pengguna bagi setiap beg itu kerana ia disifatkan langkah ke belakang.
Ketika penulis menulis artikel ini juga, kos sara hidup rakyat dijangka lebih meningkat ekoran Ringgit lemah
Menurut laporan Berita Harian pada 10 Mei, Ahli Ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata penurunan ringgit akan menjadikan kos sara hidup tinggi, yang berpunca dari kos import yang tinggi.
Penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berpotensi melonjakkan harga terutamanya barangan pengguna dan mentah yang diimport, sekali gus meningkatkan kos sara hidup rakyat , kata penganalisis itu.
Persoalannya, jika kerajaan Pulau Pinang melaksanakan caj beg plastik pada kadar RM1, adakah negeri lain juga akan mengikut jejak? Adakah ia wajar dilaksanakan walhal mahu memelihara alam sekitar seharusnya bermula langkah paling efektif dengan mengharamkan terus penggunaan beg plastik?