Oleh Tun Puteh Wanti
SYDNEY : ” Disini kami tiada ibu bapa, tiada kampung, sahabat kami adalah keluarga kami, kampung kami adalah rumah-rumah kawan,” demikian luah anak perantau Malaysia di bumi kanggaru, Australia.
Noremey Abdul Ghani bersama sekumpulan rakyat Malaysia yang merantau di bumi Australia menyambut Aidilfitri cara luar biasa apabila menjamu selera dengan ulam-ulaman bersama budu dan sambal belacan sebagai pencicahnya.
Juadah lain bertemakan masakan kampung seperti lemang, ketupat palas, serunding, dodol, rendang, satay, lontong, laksa sama seperti di Malaysia.
Usaha mereka menghidupkan suasana Raya Kampung di Australia yang terletak sejauh 6,617 kilometer dari Kuala Lumpur ternyata berjaya.
Anak kelahiran Kelantan itu mengirimkan visual dan cerita perayaan di Australia mengatakan suasana Raya selepas dua tahun berdepan SOP pandemik ternyata berbeza.
Manis menyarungkan pakaian kemuliaan Melayu seperti baju kurung, kebaya, berbaju Melayu, bertanjak, berkain samping sebagainya.
Tahun ini ramai bertanjak, terpegun warga asing melihat ramai anak Melayu pergi Sydney Opera House bergambar kenangan kat sana, ada jurufoto asing teruja tak putus-putus merakam aksi kami.
“Perasaannya ibarat kita mencapai kemenangan, harga sebuah kebebasan selepas dua tahun ‘diancam isu kesihatan global’, walaupun SOP di Australia lebih longgar tiada ‘lock down’ berbanding Malaysia namun kita sama-sama rasai keperitan keluarga dan sahabat di Malaysia yang melaluinya.
“Tahun ini kita semua dapat berkumpul dalam suasana meriah dan terjaga. Kami sudah merancang awal membeli persiapan seperti ulam dan lain-lain di Pasar Asia dan Halal Butcher sekitar Sydney.
“Pihak berkuasa agama Islam di sini sudah memaklumkan awal kemungkinan Hari Raya jatuh pada hari Isnin, jadi persiapan awal sudah dilakukan, tiada kejutan,” katanya kepada Wacanakini.com.
Noremey kagum melihat sahabatnya Bibi Aishah dan Kak Shima yang berjaya mengumpulkan pelbagai ulam untuk Majlis Terbuka Aidilfitri yang bertema masakan kampung.
“Makan dengan syahdunya rindu kat masakan kampung.
“Kawan-kawan dari Taiwan, China, Nepal, India semua makan ulam, makan sambal belacan, makan budu, sedap kata mereka.
Nasihatnya bagi perantau yang kali pertama tiba di bumi ini, usah gentar untuk merantau atau berhijrah.
“Rezeki ada di mana-mana, kuat semangat, rajin bekerja, hormat dengan setiap agama dan bangsa, jangan sombong, pandai jaga diri dan urus kewangan dan paling utama jangan lupa Allah,” katanya.