Oleh Tun Puteh Wanti
KANGAR :Bukit Jernih yang terletak di Kangar, Perlis Indera Kayangan, sebagaimana namanya, ia menyimpan seribu satu rahsia dan tidak pernah didedahkan sebelum ini.
Anak jati Perlis, Noor Rafiza Ahmad yang sebelum ini membuat koleksi penceritaan sejarah lisan orang lama-lama di bumi tempat dia membesar, katanya asal usul Jernih ini berkaitan dengan seorang pengasas tempat ini yang dikenali Jernih Hati Semboyan Darmaga Jaya atau nama timangan Jernih Hati.
“Jernih Hati dicirikan seorang yang berbadan sasa seperti pahlawan dan suka pemakaian warna hitam. Malah sehingga ke hari ini ada yang masih terserempak dengannya.
“Warna hitam adalah penyamaran Jernih Hati ketika dalam gelap berjaga-jaga jika tempat itu dicerobohi orang luar.
“Uniknya air di dalam gua dan persekitaran bukit berkenaan akan kembali jernih dalam beberapa hari setelah hujan lebat atau lumpur banjir.
“Mengikut orang lama-lama, ketika air keruh seekor naga dikenali Dewa Gerumun Jaya dikatakan bersembunyi di dasar air gua berkenaan dan ketika air jernih, naga itu akan timbul dan berpusing mengelilingi tiga bukit di sekitar,” katanya kepada Wacanakini.com.
Jelas Rafiza, tiga bukit berkenaan juga memiliki sejarah tersendiri iaitu tapak istana tiga Ratu yang dahulunya penjaga Tanah Melayu iaitu Mayang Mengurai, Kesuma Dewi dan Naga Sakti.
“Mereka adalah raja kepada rakyat terdahulu. Perkataan Raja dikatakan berasal daripada gabungan perkataan “Rakyat Yang Berjiwa”, jiwa untuk menjaga.
“Di sini tempat mereka meluah rasa, mengumpul tenaga dan mendapat kuasa daripada alam.
“Malah, masyarakat di sini seringkali datang untuk mandi manda di dalam kolam sekitar sebagai ikhtiar kesihatan.
“Zaman dahulu tiada klinik atau hospital jadi masyarakat sekitar akan datang mencari kacip fatimah, tongkat Ali dan tumbuh-tumbuhan yang dipercayai mampu merawat dan memulihkan kesihatan selain sumber pendapatan.
“Ada struktur tangga berusia lebih 80 tahun menuju ke gua bukti usaha orang dahulu kala menyabung nyawa untuk mencari sesuap nasi di sini, mereka cari najis kelawar untuk dijadikan baja,” katanya.
Tinjauan penulis ke lokasi berkenaan mendapati terdapat tangga buatan dan perigi batu kesan penempatan manusia yang tinggal di situ.
Bukit Jernih ketika ini dijadikan salah satu destinasi warisan untuk tumpuan pelancongan domestik atau luar negara.
Perlis Indera Kayangan, iaitu negeri paling utara di Malaysia, dan yang bersempadan dengan negara Thailand.
Asal usul nama Indera adalah berkait dengan salah satu dari tiga anak panah dari tiga anak Raja Melayu Kayangan yang jatuh di tengah-tengah Sungai Kinta dan Sungai Perak yang diberi nama Pulau Indera Sakti.
Dahulu sesuatu negeri dibuka mengikut jatuhnya anak panah. Dua lagi anak panah jatuh di Perlis dan Kedah.
Perlis sebelum ini merekodkan penemuan bersejarah apabila satu lukisan gua dipercayai dari zaman proto sejarah ditemukan di Gua Semadong di Padang Besar.
Lukisan di dinding gua tersebut ditemukan oleh Pencinta Hijau, Hidupan Liar Perlis dan Persatuan Mendaki Negeri Perlis.
Lukisan berbentuk lakaran gajah (Ganesha), lembu (Nandi), ular (Nagin), manusia dan mawas (Hanuman) dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.
Perlis adalah sebuah negeri yang terkenal sebagai sebuah negeri pertanian yang maju di Malaysia, terutamanya sebagai pengeluar mempelam Harum Manis, selain mempelam jenis Mas Indera, Mas Muda, Chok Anan dan Sala.