Oleh Fhatihah Zakinan
PETALING JAYA : Malang tidak berbau, tetapi boleh dihidu. Kecelakaan yang tidak dapat diketahui, tetapi boleh mengambil langkah lebih berhati-hati.
Orang ramai diingatkan supaya penggunaan kenderaan mikromobiliti termasuk skuter elektrik adalah dilarang di atas jalan raya.
Penggunaanya hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah sahaja.
Kementerian Pengangkutan melalui Menterinya, Wee Ka Siong melarang penggunaan e-skuter di jalan raya selaras pewartaan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021, berkuat kuasa 17 Disember 2021.
Beliau menjelaskan, jenis kenderaan mikromobiliti yang dilarang adalah peranti mobil peribadi (Moped), termasuk skuter elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau kuasa manusia; dan personal mobiliti aids (PMA).
Katanya, arahan mematuhi semua larangan dan peraturan jalan raya itu dilaksanakan demi keselamatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Bagaimanapun Wee berkata, penggunaan basikal dibolehkan atas jalan raya namun masih perlu mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Bagi basikal dengan bantuan kuasa elektrik (basikal elektrik), hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514: Electric Bicycles (Electric Pedal Assisted Bicycles Specification) sahaja dibenarkan digunakan atas jalan raya dengan mematuhi peraturan sama seperti ditetapkan kepada penggunaan basikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, selain mematuhi spesifikasi MS2514, ia tidak mempunyai pendikit (throttle) dan mempunyai pedal bagi kayuhan yang dipasang secara kekal di badan kenderaan.
Wee berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan mula menguatkuasakan perintah larangan itu demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan orang ramai sebagai pengguna jalan raya.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa bersama mengawal selia penggunaan kenderaan berkenaan dalam kawasan tadbir masing-masing.
“Dalam hal ini, pihak berkuasa berkenaan boleh membangunkan infrastruktur jalan khusus yang menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti yang selamat (seperti laluan basikal) yang tidak bercampur dengan aliran trafik sedia ada,” katanya.
Sebelum ini Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, mengeluarkan arahan penggunaan e-skuter di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan adalah dilarang dan tindakan undang-undang mengikut APJ 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.