Oleh Tun Puteh Wanti
PUTRAJAYA : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berpuas hati melihat pencapaian program usahawan mikro sepanjang Ramadan mendapat sambutan luar biasa orang ramai.
Beliau berkata, ekonomi dalam negara sedang berjalan dengan rancak khususnya selepas kerajaan meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak 18 April lalu.
“Kita bersyukur apabila buka sempadan dari pandemik ke endemik, perniagaan di antara usahawan mikro dan informal, Bazar Jualan Murah Raya, Festival Gaya Raya dan Starvendor dan lain-lain mendapat sambutan luar biasa.
“Selepas dua tahun pandemik ditambah semangat hendak sambut Aidilfitri, orang ramai ambil kesempatan ini untuk membeli barang keperluan, persediaan balik kampung dan lain-lain, ini menambahkan lagi kerancakkan ekonomi dalam negara,” katanya ketika hadir meraikan para pengamal media di Majlis Iftar Menteri KUSKOP serta Agensi 2022.
Majlis ini dihadiri kira-kira 300 jemputan dari RTM, UTV Media Malaysia, Berita Harian, JAKIM dan Wacanakini.com.
Noh Omar turut menyampaikan sumbangan zakat dari SME Bank kepada 29 orang penerima dari Madrasah Tahfiz Haji Omar, Tanjung Karang dan 18 orang penerima dari Pertubuhan Warisan Suci Kajang.
Ia diadakan bagi menghargai peranan media di negara ini yang bersama-sama KUSKOP dalam menyampaikan mesej yang tepat kepada masyarakat.
Terdahulu, Noh Omar memaklumkan beberapa skim pembiayaan untuk membantu usahawan-usahawan di bawah KUSKOP telah habis digunakan.
Antara skim-skim yang terlibat adalah, SPIM di bawah TEKUN. Peruntukan RM200 juta telah habis digunakan.
Geran di bawah SME Corp. Peruntukan sebanyak RM45 juta telah habis digunakan. MPPK 2.0 di bawah Bank Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM50 juta juga telah habis digunakan.
“Alhamdulillah dalam tempoh empat bulan semuanya habis digunakan dan saya lihat sambutan luar biasa dari usahawan setelah saya kurangkan redtape seperti tiada tapisan CCTOS dan CCRIS.
“Bagaimanapun skim-skim lain masih ada ada lagi untuk sahabat-sahabat usahawan memohon,” katanya.