spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Saya tak mahu Umno terbeban, saya akan pertahankan diri sendiri – Najib

- Advertisement -spot_img

Mohd Nor Wahid

DATUK Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan bahawa Umno tidak perlu mempertahankan beliau yang berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Bekas Presiden Umno itu berkata, beliau tidak mahu dirinya menjadi liabiliti kepada Umno dan akan terus mempertahankan dirinya sendiri.

Perkara itu dijelaskan oleh Najib dalam hantaran terbaharu Facebook miliknya yang menjawab kenyataan veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad yang memuji pentadbiran beliau ketika menjadi Perdana Menteri sehingga sukar ‘dilupuskan’ oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang cuma bertahan selama 22 bulan.

“Terima kasih Tok Uban (Shahrir). Seperti yang saya balas selepas PRU14 ketika ada yang gelar saya sebagai beban kepada Umno.

“Umno tidak perlu lagi pertahankan saya. Saya akan pertahankan diri dan pertahankan Umno,” katanya di Facebook, hari ini.

Terdahulu Shahrir dalam satu temubual bersama media antarabangsa berkata Najib kekal popular sengan jenama ‘bossku’ kerana ramai teruja melihat ketabahannya berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Malah, Shahrir menjelaskan, laman Facebook Najib juga telah membawa pandangan dan penjelasan darinya tanpa sekatan atau suntingan seperti di media arus perdana.

“Mereka yang ikut halaman FB Najib adalah kerana fakta dan hujahan munasabah di halaman itu. Sehingga ia lebih berkesan dari bercakap dalam Dewan Rakyat.

“Kerana di dalam dewan itu, walaupun Parlimen ialah institusi tertinggi demokrasi, tapi pelbagai pihak boleh berpakat untuk memperlekeh hujahan Najib,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, selain itu ramai yang merasa secara langsung manfaat dari kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU14 dan mereka tahu masa itu lebih baik dari masa selepas PRU14.

“Terlalu banyak peninggalan Najib yang bermanfaat kepada rakyat yang tidak dapat dilupuskan oleh Tun Mahathir, DAP dan PKR atau oleh PN (Perikatan Nasional) sendiri. Sebab itu, ramai yang mengenang jasanya,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases