KUALA LUMPUR, 5 Feb 2022 – Walaupun sebelum ini Mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dilihat agresif menghentam Menteri ketika ini, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Namun kali ini Khalid meluahkan rasa kagumnya melihat kesungguhan Shahidan dalam meneruskan usaha membangunkan Wilayah Persekutuan termasuk tidak menolak untuk mendengar cadangan daripada blok pembangkang.
“Berdasarkan apa saya lihat hari ini saya rasa gembira, mereka menjemput Ahli-ahli Parlimen dari pihak pembangkang untuk hadir bersama.
“Ini merupakan pengiktirafan yang perlu diamalkan untuk menentukan bahawa kita ada hubung kait dengan peringkat masyarakat di peringkat akar umbi.
“Saya juga telah mulakan majlis menteri di mana semua Ahli-ahli Parlimen hadir dan
saya harap benda ini dapat diteruskan untuk hari ni nampak ada semangat ke arah itu dan kalau ianya diteruskan maka persoalan, maklum balas, persoalan, pentadbiran dan sebagainya dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
“Kedua saya nampak bahawa persoalan perancang bandar yang hendak keluarkan Kuala Lumpur hanya pelan struktur, pelan setempat dan sebagainya disebut- sebut. Saya juga harap bahawa ianya diwartakan akhirnya bila ianya telah diselesaikan
“Untuk menentukan bahawa pembangunan KL itu dapat dilakukan mengikut apa yang telah dirancangkan. Kalau dulu dulu ianya tak pernah diwartakan tapi semenjak saya ambik alih dulu perkara pertama saya buat ialah wartakan dan saya harapkan benda tu akan diteruskan lagi lah,” katanya pada Majlis Ulang Tahun ke-50 DBKL di Taman Botani, hari ini.
Turut hadir adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Shahidan.
Tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu, setakat ini apa yang beliau nampak tiada penyimpangan daripada apa yang diusahakan dan Shahidan dilihat meneruskan dengan semangat yang inklusif dan pendekatan profesional apabila beliau melibatkan juga Ahli-ahli Parlimen pembangkang.
“Persoalan Kampong Baru itu saja masih tidak dilaksanakan seperti mana yang saya harapkan tetapi Kampung Sungai Baru persoalan pengambilan tanah itu secara paksa telah pun dihentikan atas desakan pemilik dan itu bagus.
“Saya harap Shahidan cari penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak samada pemilik ataupun pemaju ye,” katanya.
Untuk rekod, Shahidan sudah membuktikan keupayaannya dalam membangunkan Wilayah Persekutuan, mengadakan sambutan Jubli Emas Bandara Raya Kuala Lumpur, bertindak segera dalam menyelesaikan isu-isu rakyat wilayah supaya terus gemilang walaupun masih diuji beberapa fasa pandemik Covid-19 dan turun padang membantu mangsa bencana tanah runtuh dan banjir.
Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022) diadakan pada 1 Februari lalu, bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada 1972.