Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Hampir semua peringkat masyarakat telah ditemui, disantuni dan dirai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sejak awal Ramadan sehingga ke saat ini.
Semalam, Shahidan meraikan 60 artis veteran dalam Majlis Ifftar Jalinan Kasih YB Menteri Wilayah Persekutuan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Majlis ini tanda penghargaan Shahidan terhadap penggiat seni yang banyak memberi sumbangan dalam keharmonian rakyat dan negara terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
Artis-artis veteran pada suatu masa dahulu telah menghiburkan kita semua dengan bakat yang mereka perolehi.
Dengar kemerduan suara mereka, hilang penat rakyat yang seharian membanting tulang untuk ekonomi keluarga dan negara.
Shahidan turut menyampai sumbangan kepada mereka yang hadir dan diharapkan sumbangan yang diberikan dapat meringan beban mereka semua.
Pengarah dan penerbit filem, Datuk Dr Yusof Haslam berkata, beliau sudah mengenali lama Shahidan dan sikapnya konsisten merendah diri itu menyebabkan pelbagai lapisan masyarakat selesa dengannya.
“Shahidan tidak pernah lupa jasa artis, beliau memahami ada yang ‘zero income’, tiada tawaran kerja dan sangat terkesan sejak pandemik hampir tiga tahun lalu.
“Keprihatinan beliau satu penghormatan buat pengiat seni tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, artis veteran, DJ Dave berkata, syukur atas penerimaan Shahidan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat khususnya artis.
“Beliau amat prihatin terhadap yang miskin, yang uzur dan sebagainya, begitulah peribadi Shahidan yang disegani ramai,” katanya.
Turut hadir bersama didalam majlis tersebut adalah YBhg Datuk Seri Hj Mahadi bin Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg Datuk SR Hj Kamarulzaman bin Mat Salleh, Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL dan YBhg Datuk Zaizalnizam bin Zainun, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan.