SEGAMBUT : Seorang ibu tunggal dua anak, meluahkan rasa syukur dalam keadaan sebak setelah terpilih antara 145 penerima sumbangan wang tunai RM200 menerusi Program Nur Ramadan Kuala Lumpur.
Dewi Suriani Abdullah, 50, berkata, sumbangan malam ini yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim amat bermakna.
“Bagi sesetengah orang mungkin biasa tetapi bagi saya dan dua anak yang kehilangan pencari nafkah keluarga, kami amat terharu atas sumbangan ini.
“Anak-anak saya kematian bapa mereka akibat diabetes pada 2017, saya didiagnos kanse payudara selepas itu.
“Sejak itu saya mencari nafkah dengan mengambil upah hantar pelajar-pelajar ke sekolah,” katanya sayu kepada Wacanakini.com.
Seramai 145 penduduk Parlimen Segambut menerima bantuan RM200 seorang daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) malam tadi.
Sumbangan membabitkan peruntukan sebanyak RM183,425 disampaikan oleh Shahidan kepada anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka kurang berkemampuan.
Pihak KWP turut mengagihkan wang tunai berjumlah RM519,500 kepada 824 masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan bagi mengimarahkan suasana Ramadan.
Dalam pada itu, seorang pembantu guru tadika, Siti Nuraini Sutrisnor 44, mengucapkan syukur kerana dua anaknya terpilih menerima sumbangan anak yatim.
“Dua anak saya kehilangan bapa mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada Julai 2021.
“Terima kasih YB Shahidan tidak lupakan kami,” katanya.
Sementara itu, Nur Aida Darnizul, 31, dari Kampung Sungai Penchala, menerima sumbangan mangsa tanah runtuh dalam kejadian 18 Disember lalu.
“Saya serta enam ahli keluarga telah diarah berpindah dan kini ditempatkan di PPR Taman Wahyu Selayang.
“Syukur di sebalik ujian, banyak hikmah yang tidak dijangka.
“Terima kasih Shahidan kerana prihatin nasib kami,” katanya.