Oleh Fhatihah Zakinan
MELAKA : Penduduk Kampung Balak, Masjid Tanah, di sini dikejutkan dengan penemuan ribuan bangkai ikan pias terdampar di sepanjang Pantai Sungai Tuang hingga Telok Gong, di sini, pada petang Ahad.
Kejadian pertama kali yang dilihat penduduk berkenaan dipercayai berlaku kesan daripada tumpahan minyak di tengah laut, sebelum bangkai ikan itu dibawa ombak besar dan terdampar ke pantai.
Hingga lewat petang, jumlah ikan terdampar semakin meningkat berikutan angin barat bertiup kencang dan ombak yang semakin tinggi.
Penduduk Kampung Pengkalan Balak, Mohd Shafiq Zainal Abidin, 30, berkata, dia terkejut apabila mendapati sepanjang pantai berkenaan dipenuhi bangkai ikan, pada jam 4.30 petang.
“Ini kali pertama saya jumpa beribu-ribu bangkai ikan pias di pantai dan saya percaya ada berlaku tumpahan minyak di tengah laut,” katanya.
Dalam tempoh sama, nelayan, Mokhtar Bakar, 64, juga terkejut melihat kejadian itu ketika turun ke pantai untuk membetulkan jaring ikan.
“Semua yang mati hanyalah ikan pias, iaitu ikan yang berenang dan bermain secara berkawan di permukaan ombak dan saya percaya ikan itu terkena tumpahan minyak di tengah laut.
“Bangkai itu dibawa ombak dan angin barat ke gigi pantai, sekali gus menyebabkan pantai Sungai Tuang dan Telok Gong dipenuhi bangkai ikan itu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di pantai berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon sudah mengarahkan pegawainya mengambil sampel bangkai untuk dianalisis.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sehingga keputusan analisis diperoleh.
“Saya tidak boleh beri ulasan banyak selagi belum ada keputusan analisis yang dijalankan oleh pegawai kami.
“Saya akan memberikan ulasan sebaik saja keputusan analisis diperoleh,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah yang turut meninjau keadaan itu berkata, beliau sudah pun meminta Jabatan Perikanan menjalankan siasatan faktor kematian ikan berkenaan.