Perhimpunan Agung UMNO 2021 bermula 16 Mac dan selepas dua tahun, ia diadakan secara bersemuka sepenuhnya.
Perhimpunan yang disertai 5,571 perwakilan itu kali ini dilihat penting bagi parti berusia 75 tahun itu menentukan hala tujunya dalam menghadapi cabaran ketidakstabilan politik serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Matlamat perhimpunan adalah untuk merapatkan jurang, menguatkan saf agar perjuangan demi rakyat dan negara dapat diteruskan.
Bagaimanapun apabila Ketua UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah mempersoalkan kenapa lantik orang luar jadi Menteri Wilayah Persekutuan, ia mengejutkan ramai pihak.
Semua orang tahu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berasal dari Perlis.
Shafie dipetik berkata, lantiklah orang Wilayah Persekutuan jadi Menteri Wilayah, kerana hanya orang di sini yang arif kawasan ‘perang’ untuk diberi perhatian.
Perhimpunan sepatutnya dimanfaatkan sebagai plaform untuk mencari solusi pembangunan rakyat, isu pendidikan, isu ekonomi, isu pengganguran dan lain-lain tetapi digunakan Shafie untuk ‘menembak’ rakan seperjuangan.
Bayangkan lebih lima ribu perwakilan dari seluruh Malaysia termasuk Sarawak, Sabah turun berhimpun untuk berkongsi maklumat penting untuk memperkasakan parti, terpaksa membuang masa melihat ‘drama’ ini pula.
Sementelah platform ini disiarkan secara langsung, ditontoni berjuta rakyat, media, ahli UMNO, parti komponen tidak ketinggalan pihak lawan yang mencari-cari ruang peluang untuk menjadi senjata mereka.
Ia juga ditontoni bakal pengundi, atas pagar, kelabu, hitam atau yang masih mencari-cari warna apakah kelompok yang mereka mahu berada PRU nanti.
Adakah dengan menjatuhkan, memburukkan orang lain boleh memperlihatkan peribadi diri lebih baik dari orang yang dijatuhkan itu?
Sebenarnya tidak, begitulah adat resam Melayu bahawa satu jari ditunjukkan ke arah orang lain, empat lagi jari balik kepada dirinya.
Pepatah itu mengingatkan kita mengenai keadilan dalam melontarkan pandangan terhadap orang lain.
Namun, apabila Shafei melontarkan rasa tidak puas hatinya melihat MenterI Wilayah Persekutuan bukan berasal dari wilayah, beliau seolah-olah lupa beberapa menteri sebelum ini juga bukan asal dari wilayah.
Sejarahnya, 10 bekas Menteri Wilayah Persekutuan bukan asal wilayah ini.
Antaranya adalah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, bekas Ahli Parlimen Santubong Tan Sri Dr Sulaiman Daud, Tan Sri Shahrir Samad, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Khalid Samad dan Tan Sri Annuar Musa.
Bagaimanapun mereka semua telah menjalankan amanah yang diberi untuk mengurus tadbir Wilayah Persekutuan.
Agaknya, Ketua UMNO Bahagian masih memandang jawatan untuk merekalah yang menjadikan isu ini timbul pada PAU?
Shafei juga lupa, Tun Mohd Khalil Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6 adalah anak jati Pahang. Tan Sri Datuk Kurnia Jasa Osman Talib (lahir di Gopeng , Perak) dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka yang pertama.
Ketua Menteri Melaka ke- 2, Tun Abdul Ghafar Baba, Abdul Ghafar Baba berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Abdul Aziz Abdul Majid berasal dari Hulu Langat dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-3.
Shafei bagaimanapun akui Shahidan seorang yang prihatin dan pemurah membantu rakyat memerlukan dengan segera.
Dalam puji-puji, beliau tetap sinis memberitahu menteri itu tidak ‘menjaga’ ketepatan masa sewaktu menghadiri acara.
Sebagai orang Melayu, letaklah adat dan adab dalam setiap perilaku agar diri tidak melampaui batas dan tidak menyusahkan diri di kemudian hari.
Ini kerana jika kita menjaga adab pasti tahu waktu mana sesuai untuk berbicara tentang sesuatu perkara, janganlah masuk kandang kambing kita pula mengaum seperti harimau.
Kata orang, hal dalam kain selesai sendiri bukannya sengaja dijaja hanya untuk mendatangkan rasa benci atau marah orang lain terhadap pihak lain, sikap ini tidak bagus.
Sepatutnya sebagai pemimpin tunjuk contoh terbaik dalam perjuangan, apa salahnya bekerjasama, saling hormat menghormati dan bantu membantu agar tiada yang tertinggal jauh ke belakang sebaliknya sama-sama mendaki lebih tinggi ke atas.
Ambillah iktibar kejayaan besar BN menerusi PRN Melaka dan Johor yang membuktikan penyatuan hati memberi kekuatan dan kejayaan yang digeruni rakan atau lawan.
Fakta senarai Menteri Wilayah Persekutuan bukan asal Wilayah Persekutuan
- Hassan Adli Mohd Arshad (MP Bagan Datok, 1976-1978)
- Hussein Onn (MP Sri Gading, 1978-1980)
- Abdul Taib Mahmud (MP Samarahan, 1980-1981)
- Sulaiman Daud (MP Santubong, 1981)
- Pangiran Othman Rauf (MP Kimanis, 1981-1983)
- Shahrir Abdul Samad (MP JB, 1983-1987)
- Abu Hassan Omar (MP Kuala Selangor, 1986-1987)
- Mohd Isa Abdul Samad (MP Jempol, 2004-2005)
- Khalid Abdul Samad (MP Shah Alam, 2018-2020)
- Annuar Musa (MP Ketereh, 2020-2021)