Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Seluruh rakyat Malaysia hari ini kembali berwajah ceria apabila kerajaan akhirnya, bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Sidang Media Khas Perdana Menteri, secara langsung di Facebooknya, petang tadi.
Berita baik itu juga memberi nafas lega kepada netizen yang amat memerlukan bantuan kewangan dalam keadaan terdesak bagi meneruskan kelangsungan hidup dan memudahkan urusan mereka.
Perdana Menteri menerusi Facebooknya, berkata kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.
Katanya, berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
“Justeru, pada hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail berkata meskipun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun beliau merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan,” katanya.
Beliau menambah, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, berjumlah RM101 bilion, membabitkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.