Oleh Fhatihah Zakinan
JOHOR BAHRU : Berusia lanjut tidak menjadi penghalang seorang wanita warga emas menunaikan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Larkin 1, di sini, awal pagi ini.
Siti Suhaini Kenat, 73, tiba bersama rakannya, pada jam 8.15 pagi sebelum selesai membuang undi di saluran satu, kira-kira jam 8.30 pagi.
Siti Suhaini antara 2,539,606 pengundi biasa bakal mengundi untuk memilih wakil rakyat di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Siti Suhaini ketika ditemui berkata, sudah lebih lima kali dia menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia malah menyeru orang ramai terutamanya golongan muda keluar mengundi.
“Sesudah menunaikan solat Subuh, saya sudah bersedia untuk turun mengundi.
“Orang muda keluarlah awal untuk mengundi, senang mudah kerja nanti,” katanya dipetik Kosmo Online.
Rakyat Johor hari ini keluar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 bagi memilih kerajaan negeri baharu.
Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hari ini juga menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.
PRN Johor hari ini, adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, membabitkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi bersedia membuka pintu bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.