JOHOR BHARU – “Kena berani, tidak patah semangat, jangan takut dengan pihak lawan dan kena rajin, itulah pesanan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim,” calon Barisan Nasional (BN) kerusi N13 Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don.
Beliau berdepan saingan empat penjuru bagi DUN Simpang Jeram bertemu Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Salahuddin Ayub, calon Pakatan Harapan yang juga Ahli Parlimen Pulai, Mahaizal Mahmor (PEJUANG) dan Zarul@Mohamad Zahrul Salleh (PN).
“Saya melihat perbezaan majoriti menghampiri 8,000 pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14, sebagai satu kenangan sebagai selepas PRU14.
“Ini kerana Pakatan Harapan (PH) gagal tunai janji kepada rakyat yang akhirnya kuasa mengundi kembali kepada rakyat , rakyat menilai semula, kaji semula dan membandingkan dengan rekod BN yang lebih baik.
“Saya percaya pengundi sudah ada menunjukkan sikap kembali kepada BN,” katanya kepada Wacanakini.com
Tambahnya, tugas biasa sebagai wakil rakyat, beliau mahu melihat pengundi baru pengundi muda, yang berdaftar secara automatik melibatkan ratusan yang boleh dianggap tinggi.
“Kita jaga seluruh masyarakat, tetapi beri tumpuan generasi baru, dan saya lihat rata-rata mereka perlukan perhatian,
dari segi sukan, padang, pusat-pusat reakreasi melibatkan kos yang tinggi.
“Cadangan saya, kumpulkan mereka beri khidmat nasihat, mungkin satu hari nanti boleh dibuat MoU di tempat terpilih untuk jadi pusat untuk bantu golongan muda,” katanya.
Sementara itu, Lokman dan calon N14 DUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin mengucapkan terima kasih kepada Shahidan yang turun padang bagi membakar semangat calon-calon BN yang bakal bertanding PRN Johor pada 12 Mac nanti.