Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Baling batu sembunyi tangan. Berpura-pura tidak tahu selepas melakukan sesuatu kesalahan.
Berbeza dengan pendedahan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai pembabitan 9 Dragon dalam pentadbiran negara yang disambut rakyat dan tidak dinafikan.
Sebaliknya, dakwaan mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dilaporkan mempunyai pengetahuan mengenai isu kartel sejak 2020, iaitu ketika beliau masih menyandang jawatannya itu, kini dipertikaikan dan dinafikan kebenarannya.
Ketika itu, Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad mencalonkan Abdul Hamid supaya dilantik menyandang jawatan berkenaan pada Mei 2019 hingga Mei 2021.
Bagaimanapun, selaku KPN, Abdul Hamid tidak membangkitkan isu berkenaan malah tidak mengambil tindakan sewajarnya ketika beliau masih mempunyai kuasa dan masa untuk menanganinya sebelum ia didedahkan kepada pihak media.
Justeru, barisan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati Abdul Hamid dianggap sudah hilang hak untuk membuat sebarang komen mengenai dapatan siasatan pihak berkenaan, berkaitan isu kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan siasatan terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel didedahkan kepada pihak media.
“Sebaliknya, beliau tidak memberikan keterangan kepada JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan.
“Abdul Hamid selaku KPN juga tidak pernah membangkitkan isu kartel dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) atau mana-mana mesyuarat membabitkan pengarah-pengarah jabatan PDRM Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali serta Pesuruhjaya EAIC iaitu Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’hara dan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.
Mengulas lanjut, EAIC sebulat suara menegaskan Abdul Hamid sudah hilang hak untuk membuat sebarang komen berkenaan isu itu berdasarkan rakaman percakapannya kepada EAIC.
Ia susulan kenyataan beliau terhadap dapatan siasatan EAIC berhubung isu berkenaan baru-baru ini, disifatkannya sebagai ‘cetek dan tidak betul’.
Abdul Hamid malah tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaan beliau, bahawa wujud kartel dalam PDRM dan tidak menamakan mana-mana pegawai yang terbabit dalam isu kartel itu.
Dalam kenyataan sama, EAIC turut memaklumkan, terdapat saksi dalam siasatan dapatan menyatakan kenyataan mengenai kewujudan kartel dibuat Abdul Hamid pada saat akhir, sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021.
Ia sekaligus menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan terbabit.
Abdul Hamid juga dikatakan enggan dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu terbabit.
EAIC pada 22 Feb lalu, mengumumkan dapatan siasatan, menyatakan berdasarkan keterangan saksi dan dokumen diperoleh, tidak dapat disahkan wujudnya kartel dalam pasukan polis seperti didakwa Abdul Hamid.
Begitu juga dakwaan orang sama, bahawa pegawai polis dapat mengatur jawatan dalam pasukan untuk mengawalnya demi kepentingan peribadi.
Susulan pengumuman EAIC itu, Abdul Hamid dilaporkan kecewa dengan hasil siasatan EAIC, sambil menyifatkan ia sebagai ‘cetek dan tidak betul’.