KULAI : Ketua UMNO Bahagian Kulai Datuk Zainal Abidin Jidin berkata pihaknya perlu bekerja keras bersama ‘bapa angkat’ bagi kawasannya berikutan isu penambahan undi pada bahagian itu.
Kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selaku bapa angkat kepada beberapa daerah negeri Johor bagi menyuntik semangat dan nasihat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti Barisan Nasional (BN).
“Oleh itu, saya berharap apa yang dikongsikan ini dapat dilaksanakan dan diterapkan oleh jentera-jentera parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Kita akan bersama-sama Menteri Wilayah untuk turun padang berjumpa rakyat bagi mendekati mereka. Malah, kami juga akan berkunjung ke kawasan-kawasan yang menjadi tarikan,” katanya kepada WacanaKini.com
Shahidan ditemui di majlis perjumpaan bersama Jentera BN selepas pihak Wilayah Persekutuan (WP) mengumumkan Bahagian Johor Bahru dan Kulai untuk PRN Johor (ZON SELATAN) sebagai negeri angkat pada 13 Februari lalu.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sehubungan itu, SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 26 Februari manakala hari mengundi awal pula adalah 8 Mac.