Oleh Fhatihah Zakinan
SHAH ALAM : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diperkenan menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama isteri baginda, Che’ Puan Khaleeda Bustamam pada Isnin.
Najib menerusi hantaran Facebooknya, hari ini, mendedahkan kunjungan hormat menghadap itu bagi membincangkan mengenai keperluan pembangunan secara menyeluruh terutama dalam mengurangkan beban hidup rakyat di Johor.
“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Yang Amat Mulia (YAM), Che’ Puan Khaleeda Bustamam atas perkenan menerima patik mengadap semalam (Isnin).
Menyentuh mengenai pembangunan secara menyeluruh yang amat diperlukan bagi Johor dan Malaysia.
“Juga mengenai sistem kebajikan rakyat yang lebih efektif bagi membantu mengurangkan beban kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, tiga fokus utama turut ditekankan dalam perbincangan berkenaan iaitu pelaburan, pekerjaan dan pembangunan wajar.
“Johor mempunyai potensi besar malah menjadi pemangkin dan ‘gateway’ kepada kemajuan ekonomi negara.
“Semoga Allah SWT melimpahkan kurnia, rahmat dan kesejahteraan buat Johor dan Malaysia, serta terus memberkati institusi diraja,” katanya.