Oleh Tun Puteh Wanti
LEMBAH PANTAI : Seorang wanita warga emas yang kedua kakinya cedera telah ditinggalkan seorang diri oleh suami dan anaknya.
Itulah kepahitan yang ditelan Shellan a/p Sinniiah, 65, yang tidak berupaya mencari nafkah selepas menjalani pembedahan di kedua-dua lututnya.
Kesannya, dia tidak mampu berdiri atau berjalan terlalu lama.
Dia yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.
Hanya belas ehsan jiran dan sahabat taulan untuk dia bertahan hidup bulan demi bulan, tahun demi tahun setelah ditinggalkan sebatang kara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai merangkap Ketua Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani meluangkan masa pada Ahad untuk meninjau keadaanya.
“Saya baharu dimaklumkan keadaan Shellan dan berharap JKM boleh naikkan bantuan hingga RM500 sebulan bagi kos sara hidupnya kerana dia tiada keupayaan untuk mencari nafkah.
“Isu-isu sebegini perlu diberi perhatian dan wakil penduduk perlu memaklumkan jika ada lagi penduduk tercicir daripada bantuan sewajarnya, kita bantu apa yang termampu,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan Lembah Pantai, Haji Ramli Awang Ahmad, Ketua Bahagian Makkal Sakti Lembah Pantai merangkak AJK Biro Kebajikan Lembah Pantai, Partibhan A/L Muniandy dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Pantai merangkap Pengerusi Surau Al Makmur, Mohamad Talib.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Datuk Ramlan mendengar pelbagai aduan dan beri kerjasama dengan baik.
“Surau kami juga sudah dilengkapi pendingin hawa hasil bantuan beliau bulan Ramadan lalu.
“Harapan kami amat tinggi terhadap kepimpinan beliau dan berharap beliau terus bersama di Lembah Pantai,” katanya.