Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah mencadangkan UMNO bertanding di Parlimen Setiawangsa pada Pilihan Raya Umum KE-15 (PRU15).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa itu, berharap pucuk pimpinan BN menempatkan calon komponen UMNO dan seterusnya menggarapkan sokongan teguh melalui rakyat dan gerak kerja parti.
Bagaimanapun, terserah kepada keputusan BN untuk menentukan pemilihan kerana mereka lebih tahu.
“Terserah kepada pucuk pimpinan (BN) untuk menentukan siapa bertanding (di Setiawangsa).
“Kalau tidak saya pun, dia pilih orang lain dalam BN (dalam komponen), kita sokong juga.
“Kita nak Setiawangsa, kita tuntut UMNO bertanding. Siapa-siapa kita lawan, kita tentang, tak kira berapa penjuru, kita berkempen secara matang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Jamuan Aidilfitri Setiawangsa anjuran Parlimen Setiawangsa, di sini.
Presiden Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa) itu berkata mana-mana parti tidak akan mendedahkan strategi masing-masing, cuma pihaknya mahu bangkit semula kesan daripada kesilapan PRU lalu.
“Kita bangkit untuk menyantuni rakyat sama ada sihat atau sakit. Apa perlu kita buat, terus buat kerja masing-masing supaya rakyat tengok kerja kita cop kita BN/UMNO,” katanya.
Beliau menambah, jumlah pengundi berdaftar juga bertambah daripada 30,000 kepada kira-kira 10,000 orang namun mahu memfokuskan keseluruhan lapisan masyarakat, tidak hanya mensasarkan golongan anak muda.
“Kita kalau bercakap, orang politik bercakap sedap tapi perlu tunjukkan bukti video dan sebagainya. Betulkah kita dapatkan sokongan, itu tanda tanya, jangan syok sendiri.
“Saya juga mengingatkan diri sendiri dan sahabat dalam BN, kita jangan syok sendiri,” katanya. – MV