Oleh: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Frekuensi penerbangan Malaysia ke London akan ditingkatkan kepada 14 kali seminggu mulai Julai sebagai inisiatif merancakkan lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke negara ini.
Sejak fasa endemik mula 1 April lalu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, Malaysia dikunjungi sebanyak 1 juta pelancong.
“Sasaran kita adalah lebih 2 juta pelancong antrabangsa menjelang tahun ini…oleh itu frekuensi penerbangan (Malaysia ke London) daripada 2 kali seminggu ditingkatkan 14 kali seminggu dipercayai akan membawa masuk lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata demikian dalam sidang media di Festival Makanan Malaysia 2022 ‘Nang Nyaman’ di Kraftangan Cawangan Sarawak, hari ini.
“Selain London, penerbangan dari negara-negara lain yang datang membawa pelancong ke negara kita juga akan dipertingkatkan terutama dari negara Jepun yang bakal membuka sempadan untuk Malaysia,” ujarnya.
Sementara, Malaysia masih menantikan Korea membuka sempadan untuk Malaysia kata Nancy ekoran negara itu masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kepada rakyatnya sendiri untuk keluar masuk negara berkenaan.
Sementara Nancy yang disoal pemberita kesan terhadap sektor pelancongan sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diimplementasi semula beliau enggan mengulas lanjut susulan perkara berkenaan belum ada kata putus.
“Sebenarnya ia tidak akan mengganggu sektor pelancongan kerana ia sebenarnya bagus untuk ekonomi negara kita…cuma saya enggan mengulasnya kerana setakat ini ia (GST) hanya menjadi sebutan sahaja kita tidak tahu sama ada ia kembali atau tidak,” jelasnya.