Oleh Tun Puteh Wanti
PUTRAJAYA : Kejutan buat rakyat Malaysia apabila pada 27 Syawal ini kita dikejutkan dengan berita mantan pemimpin PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan dan Komoditi dan keluar dari BERSATU.
Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, Zuraida menyatakan prinsipnya yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun sudah keluar dari barisan kabinetnya.
“Saya belum terima apa-apa maklumat secara terus daripada Zuraida namun ura-ura beliau akan letak jawatan itu sudah kedengaran sebelum ini.
“Tetapi beliau masih menyokong dasar dan kepimpinan PM ketika ini,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya di sini hari ini.
Hadir sebagai tuan rumah, Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu berkenaan.
Tinggal sebulan lagi Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, di Parlimen dijadualkan dibentangkan di Parlimen Julai ini, tetapi mantan pemimpin PKR, Zuraida hari ini menarik diri sebagai ahli BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bagaimanapun, Zuraida menjelaskan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan perletakan jawatannya, dalam masa terdekat.
Menurutnya, beliau masih menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri walaupun kini menyertai PBM berikutan pendirian PBM adalah selari terhadap sokongan kepada kerajaan.
Zuraida dilaporkan kini berada di Turki bagi memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.
Beliau dijangka ke Athens, Greece pula bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC), sebelum dijadualkan pulang ke tanah air, pada 2 Jun ini.
Untuk rekod, Zuraida pernah dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin.