spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Warga kota mula kembali ke gagang

- Advertisement -spot_img

Oleh Tun Puteh Wanti

ARAU : Bagai sireh pulang ke gagang, atau ertinya kembali ke tempat asalnya, begitulah warga kota yang menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing sudah mulai kembali ke ibu kota.

Tinjauan penulis dari stesen perkhidmatan tren elektrik (ETS) Padang Besar ke KL Sentral mendapati enam gerabak dengan muatan lebih 200 penumpang penuh.

Rata-rata mendakwa tiket sudah dibeli awal dua minggu sebelum Aidilfitri, dan mula kembali ke ibu kota sejak petang semalam.

Seorang petugas ETS memberitahu, perkhidmatan ETS penuh setiap hari sejak seminggu sebelum Syawal sehingga ke hari ini.

“Selepas dua tahun tidak rasai Aidilfitri, kali ini semua pulun beraya, raya sakan.

“Tetapi mereka sudah bersedia awal, tiket dibeli awal agar dapat balik ke kampung masing-masing, ada yang beli tiket dua bulan sebelum Aidilfitri,” katanya kepada Wacanakini.com.

Dalam pada itu, seorang penumpang ETS dari Padang Besar ke KL Sentral, Muqrizz Muzzammil, 20, berkata dia menempah tiket pergi balik dua minggu sebelum Aidilfitri.

“Ketika tiket dibeli memang tempat sudah terhad syukur segalanya dipermudahkan dan selamat tiba ke destinasi.

“Nasihat saya rancang perjalanan, beli tiket awal kerana ramai kawan-kawan saya yang tidak sempat beli tiket dan terpaksa guna kaedah lain untuk pulang,” katanya.

Seorang lagi penumpang ETS, Kak Asiah berkata, anak-anaknya terpaksa balik ke KL menaiki bas kerana tiket ETS sudah habis.

“Tiket ada selepas 9 Mei sahaja, tetapi kami rancang balik hari ini supaya tidak bertembung dengan orang lain yang kembali Sabtu dan Ahad, tidak boleh bayangkan suasananya bagaimana,” katanya.

Sebanyak 154,526 atau 63 peratus tiket kereta api sempena Aidilfitri bagi pelbagai perkhidmatan tren terjual bagi perjalanan 23 April sehingga 8 Mei.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini dilaporkan berkata bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sebanyak 130,361 tiket atau 82 peratus bagi 82 perjalanan terjual manakala sebanyak 3,751 tiket atau 85 peratus bagi ETS tambahan (KL Sentral-Padang Besar) terjual.

Bagi perkhidmatan antara bandar pula sebanyak 19,268 tiket atau 24 peratus terjual manakala bagi Ekspres Khas Keluarga Malaysia (KL Sentral-Tumpat) 1,146 tiket atau 82 peratus terjual.

ETS menyediakan mini kafe selain tandas yang bersih untuk keselesaan penumpang.

Kak Asiah (kiri) dan Muqrizz Muzzammil.
- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases