Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Mengejutkan! Sebuah patung ‘teddy bear’ disangka badan mayat ditemui di dalam longkang di Jalan Maharajalela (Bulatan Merdeka), di sini, ketika pekerja menjalankan pembersihan di saluran bawah jalan raya itu.
Video dimuat naik di Tiktok shahidankassim_fans berdurasi 24 saat menunjukkan beberapa pekerja dan penguatkuasa berpakaian baju hujan, sedang menjalankan pembersihan di longkang ketika hujan, sebelum menemui punca saluran tersumbat itu.
Menerusi video itu juga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenalpasti dengan teliti, kawasan sering dilanda banjir kilat di wilayah itu berkemungkinan daripada masalah sistem perparitan.
Masalah perparitan berlaku ekoran longkang tersumbat yang disebabkan banyak barang tidak sepatutnya berada di dalam longkang ditemui di saluran berkenaan.
“Marilah kita saling membantu membuang sampah ke dalam tong sampah.
“Bila longkang tersumbat, banjir kilat berlaku, ramai yang sengsara. #kitajagakita,” menurut hantaran video itu.
Justeru, setiap penyakit pasti ada penawarnya. Begitu juga setiap masalah dan buntu yang dihadapi, mesti ada jalan penyelesaian keluar.