Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Desas-desus sedang rancak bertebaran mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melakukan rombakan kabinet selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.
Sumber terdekat daripada Barisan Nasional (BN) memaklumkan rombakan ini adalah bagi membersihkan jawatan menteri bukan dari BN.
“Ia menjadi bualan hangat dalam kalangan ahli-ahli politik. Siapa yang bakal kena tukar, siapa pula yang bakal dilantik? Ini semua jadi teka-teki dan jawapannya hanya diketahui Perdana Menteri sahaja.
“Langkah ini juga dilihat sebagai mengukuhkan pendirian beberapa pemimpin kanan UMNO yang telah menyatakan bahawa UMNO dan BN akan ‘Go Solo” pada PRU-15 akan datang,” katanya kepada Wacanakini.com.
Desas-desus ini sudah lama tercetus iaitu selepas banjir besar melanda negara lain.
Tambah sumber itu, menerusi rombakan itu, mana-mana Menteri yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti yang memberi imej buruk kepada kerajaan dijangka hilang jawatan.
“UMNO hendak menunjukkan siapa ‘Bos’ kepada Perikatan Nasional dalam pentadbiran kerajaan PN 2.0 sekarang.
“Rombakan ini adalah kuasa Perdana Menteri, hanya beliau sahaja yang tahu ke mana hala tuju negara hendak dibawanya,” katanya.
Malah ura-ura kuat kedengaran bahawa PN akan bergabung dengan PN untuk menghadapi BN pada PRU-15 nanti, jadi ini menyebabkan BN tidak boleh berpeluk tubuh sedangkan musuh dalam selimut sedang mengadakan rancangan besar.