Oleh Tun Puteh Wanti
Ramai yang meminta penulis menulis isu video tular kelibat seorang lelaki yang didakwa merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam berada di kelab malam.
Sebagai seorang wartawan, penulis perlu akur etika kewartawanan iaitu perlu dapatkan ‘fair comment’ dari kedua-dua pihak iaitu yang menuduh dan tertuduh.
Ini kerana mengikut pengalaman penulis sendiri, isu video viral ini biasanya dilakukan oleh pihak yang memiliki agenda tertentu atau mala fide (niat jahat) terhadap pihak yang ditularkan.
Video berdurasi 3 minit 24 saat itu menampilkan visual dari sudut tepi imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita di kiri dan kanan beliau.
Lelaki itu kelihatan beraksi seperti sedang mengetuk dram dengan muzik latar yang bising.
Sementara itu, seorang penggiat agama melalui Facebooknya, Ustaz Ahmad Husam Baderudin mendakwa, penasihat agama tersebut diserang kerana beliau begitu kuat bersuara menentang fahaman ‘Wahabi’ di Malaysia.
Menurutnya, mana-mana individu yang menentang fahaman tersebut akan diserang di media sosial bertubi-tubi dengan tujuan untuk membunuh karekter individu terbabit.
Tambah Ahmad Husam, beliau turut menjadi mangsa apabila video penerangannya mengenai penasihat agama itu telah dipotong dan diedit sehingga mendatangkan kekeliruan dan fitnah.
Penulis berusaha mendapatkan pengesahan empunya diri menerusi aplikasi Whatsapp milik adiknya, namun tiada maklum balas sehingga ke hari ini.
Selagi tiada penjelasan dari empunya diri pastinya isu ini tidak akan habis dan bagi orang ramai yang tidak mengetahui sejauh mana kebenarannya pasti akan menerima maklumat yang ditular sebagai benar.
Namun menjadi persoalan, jika ‘diam itu mengesahkan kebenarannya’ maka adakah kredibiliti sedemikian yang dimiliki oleh pihak bergelar penasihat agama.
Beliau dikatakan memiliki pengajian bidang syariah dan amat disegani oleh institusi raja.
Moralnya, janganlah mudah menghukum umat Islam yang tiada latar belakang pendidikan agama tinggi jika mereka tersasar sedikit dari landasan.
Mungkin kerana mereka ‘menyampah’ melihat perangai-perangai pegawai agama tetapi tidak mengamalkan cara sebenar Islam sebaliknya hanya menggunakan nama agama untuk menghalalkan perbuatan mereka dan menghukum orang lain.
Adalah dicadangkan institusi agama diperkasakan dan diselaraskan dengan meletakkan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai penasihat.
Contohnya ada pakar sejarah, ada pakar perubatan, ada pakar saintis, ada pakar bahasa, ada pakar kejuruteraan, pakar undang-undang, pakar syariah, pakar penulisan dan lain-lain supaya lebih disegani dan dihormati.