Oleh Fhatihah Zakinan
SINGAPURA : Nilai ringgit Malaysia lemah berbanding dolar Singapura. Begitulah kenyataan laporan Channel News Asia (CNA).
Menurut laporan berkenaan, pada minggu lalu, kadar pertukaran mata wang Singapura adalah 3.17 berbanding ringgit Malaysia, yang meningkat dari 3.10 sejak awal April lalu.
Bagaimanapun, tinjauan wartawan CNA di Pusat Beli Belah Angsana di Johor, yang dahulunya menjadi ‘pekan mati’ selama dua tahun mendapati, kini bertukar meriah dengan kedatangan pengunjung dari negara seberang tambak itu.
Rakyat Singapura mengambil kesempatan dan peluang untuk membeli-belah di Johor Bahru sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri disebabkan kadar pertukaran mata wang asing yang menyaksikan nilai ringgit lemah berbanding dolar Singapura.
Suasana di Johor juga meriah dengan kedatangan pelancong Singapura selepas pembukaan pintu sempadan antara kedua-dua negara, awal bulan lalu.
Justeru, ibarat durian runtuh, rakyat di Johor khususnya peniaga boleh menarik nafas lega dengan kemasukan rakyat Singapura ke negeri itu.
Penjual biskut raya, Suhaiza Ibrahim berkata, dia masih ingat situasi dua tahun lalu semasa pintu sempadan Malaysia dan Singapura ditutup.
Mengimbau kenangan itu, katanya, kawasan koridor di pusat beli belah berkenaan lengang dan banyak remis perniagaan ditutup.
Bagaimanapun, dia kini lega selepas melihat suasana bertukar meriah sekelip mata dan perniagaannya kian laris dari malam hingga ke siang.
Dia malah berasa gembira kerana pengunjung dapat kembali ke pusat belah itu selepas pintu sempadan sudah dibuka semula.
“Saya sehinggakan tidak boleh lagi menerima tempahan biskut raya kerana stok sudah tidak mencukupi.
“Permintaan kali ini, benar-benar di luar jangkaan. Kedai saya di Angsana ini dikunjungi 70 pelanggan dari Singapura,” katanya.
Suhaiza menjual pelbagai kuih dan biskut raya seperti popiah serunding dan kuih makmur sehingga hasil jualannya meningkat dua kali ganda daripada tahun lalu.
Pelanggan juga didapati terpaksa beratur panjang sebelum memasuki premisnya.
Sementara itu, pengunjung yang juga pemilik perniagaan dari Singapura, Mohd Firdaus Ismail berkata, dia memilih untuk membeli belah di Johor selepas mengetahui kadar pertukaran mata wang yang menggalakkan.
“Apabila dimaklumkan kadar pertukaran itu, saya lantas menukar duit di Singapura dan memohon cuti untuk membawa keluarga membeli belah serta berbuka puasa di sana (Malaysia).
“Harga baju dan biskut raya yang dibeli di Angsana pula jauh lebih murah berbanding di Geylang atau Kampung Glam (Singapura),” katanya.
Pengunjung Singapura lain, Nora turut memberikan alasan sama kedatangannya ke sini bagi mencari lemang.
“Susah nak cari lemang di Singapura, jadi saya bersyukur dapat datang ke sini,” katanya.