Oleh Fhatihah Zakinan
SHAH ALAM : Membawa imej positif Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan motto ‘Mesra Rakyat’, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan dirinya kembali bertugas di Bukit Aman, berkuat kuasa 1 Jun ini.
Nik Ezanee akan bertugas sebagai Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Bukit Aman selepas lima bulan menjadi Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri sejak Disember 2021.
“Saya dah bincang dengan Pengarah JPJKK, saya akan lapor pada 1 Jun depan. Macam saya kata, kepakaran saya dalaman, apa yang ada dalam diri saya patut dicurahkan ke mana-mana jabatan.
“Alhamdulilah, saya teruja, tetapi saya kena pergi sana dan lapor sana dulu di JPJKK dan tengok tugasan apa semua dan lihat apa yang boleh saya tambah nilai dan tambah baik, ” katanya memetik laporan Sinar Harian, pada Isnin.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, arahan pertukaran Nik Ezanee dikeluarkan pada 17 Mei 2022.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain @Abd Rasid dilaporkan mengesahkan pertukaran bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Selangor itu.
Nik Ezanee sebelum ini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya sebelum menyandang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor.
Beliau kemudian dilantik menjadi Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sejak Disember 2021.