Mohd Nor Wahid
TINDAKAN Kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan yang berkuat kuasa serta-merta hari ini sememangnya akan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.
Perkara ini diakui Datuk Ismail Kasim yang sangat mengalu-alukan langkah kerajaan itu kerana ia akan membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengimport makanan ke negara ini tidak terhad kepada pihak tertentu sahaja.
“Saya menyambut baik pemansuhan AP ini dan sangat menyokong tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tiada lagi pihak yang tertentu yang dia sahaja boleh import makanan, maknanya langkah ini memberi sesiapa sahaja peluang untuk melakukannya dan sekali gus harga barang akan menjadi stabil dan murah dan ini memberi kebaikan kepada rakyat sebagai pengguna,” katanya kepada Wacanakini, hari ini.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang menjelaskan, pemansuhan AP ini akan membanteras ‘permainan’ harga oleh pemilik AP yang tidak bertanggungjawab.
“Ya memang bagus, gejala membul, menggugut kerajaan untuk menaikkan harga barang tidak akan berlaku lagi.
“Selama ini ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab seperti menghadkan import barang semata-mata mahu menjadikan harga barang menjadi mahal sekali gus membantut usaha kerajaan mewujudkan harga barangan yang murah.
“Saya amat sokong tindakan ini, tiada lagi pihak yang menopoli dan bagus untuk rakyat. Ini menunjukkan kerajaan sentiasa mencari kaedah untuk memastikan harga barangan stabil dan murah,” katanya.
Susulan pemansuhan AP makanan ini, Ismail berkata, kerajaan boleh mula memikirkan untuk memansuhkan AP dalam sektor lain seperti kenderaan import sekiranya ia mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.
“Saya berharap Perdana Menteri dan Kabinet boleh menkaji keperluan AP kepada sektor lain seperti kenderaan import, dan sebagainya.
“Jika ia lebih banyak memberi impak dan kesan baik kepada rakyat dan negara, mengapa tidak ianya juga patut dimansuhkan. Jadi pertimbangkanlah untuk memansuhkan AP yang lain juga,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menjelaskan, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini sebagai langkah penting dalam menjamin keselamatan makanan di negara.
Sebelum ini, wujud gesaan meminta kerajaan memansuhkan AP atau memberikan peluang kepada lebih banyak syarikat mengimport barangan jika benar-benar mahu menurunkan harganya. – Wacanakini