Oleh Tun Puteh Wanti
Permuafakatan Ayahanda-ayahanda Malaysia (PERMAS) mahu kerajaan teliti aliran wang keluar dari negara sebelum membenarkan kemasukan 500 ribu pekerja Bangladesh.
PERMAS ini adalah gabungan 200 pertubuhan dan 2 juta keahlian seluruh negara, penaungnya adalah Tengku Sulaiman Ibn Armahum Tengku Kassim kerabat DiRaja Kedah.
Presiden PERMAS, Datuk Ismail Awang berkata, antara punca nilai ringgit jatuh adalah pertukaran wang asing kerana semakin banyak wang keluar, semakin jatuh nilai duit.
Mereka mengulas keputusan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang memaklumkan negara dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing Bangladesh mulai bulan ini.
Ia susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Malaysia dan Bangladesh pada Disember 2021 berhubung pengambilan pekerja negara itu untuk berkhidmat di negara ini berkuat kuasa lima tahun hingga Disember 2026.
Sidang media PERMAS diadakan di Hotel Zamburger di Chow Kit pagi tadi dan dihadiri 100 ahli PERMAS dari Sabah yang turut menerima watikah terhadap sumbangan dan jasa mereka kepada masyarakat.
PERMAS juga bercadang untuk menghantar memorandum bantahan kemasukan 500,000 pekerja asing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penulis pernah membentangkan isu ancaman keberadaan warga asing dalam negara kerana mereka menyebabkan wang kita tidak banyak digunakan dalam negara disamping isu keselamatan, isu sosial dan isu kesihatan.
Dalam erti kata lain, semakin ramai warga asing semakin jatuh nilai ringgit sbb makin ramai makin banyak wang keluar dan adakah kita ada duit sebanyak tu di pasaran?
Pihak berkuasa sendiri terkejut semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada April 2020 dalam pagar kawat berduri sekitar Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur, terdapat 16,000 warga asing berbanding 6,000 sahaja rakyat tempatan.
Satu jumlah mengejutkan, dalam menara City One di Kuala Lumpur terdapat 3,200 warga asing dikurung malah terdapat puluhan ribu warga asing di Selangor Mansion, malah laporan berita mengatakan puluhan ribu warga asing ‘ghaib’ di Sabah dan Sarawak.
PKPD telah membongkar jumlah warga asing yang membimbangkan dan mereka tidak keluar dari Malaysia sejak pandemik.
Jadi kenapa sibuk hendak tambah lagi? Siapa yang untung di sebalik ‘perniagaan’ warga asing ini.
Pada tahun 2014 sebanyak RM38.4 bilion setahun wang dihantar pulang oleh pekerja asing ke negara masing-masing.
Pada tahun 2019, dalam sektor pembinaan sahaja sebanyak RM5 bilion wang negara mengalir keluar menerusi pekerja asing dalam setahun.
Terdapat 420,000 pekerja asing yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dalam sektor berkenaan pada 2019.
Sebanyak RM103.2 bilion aliran wang keluar Malaysia direkodkan pada tahun 2021.
Jadi jika 500,000 pekerja ini masuk, berapa banyak lagi wang akan dialir keluar?
Desas-desus mengatakan sebanyak 50,000 permohonan pekerja asing sudah diluluskan daripada 2 juta permohonan dikemukakan.
Tambahan pula, rakyat Malaysia sendiri sedang bergelut memulihkan ekonomi masing-masing, masih ramai yang tiada pekerjaan. Kemasukan pekerja asing akan membantutkan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
Adalah lebih baik mengitar semula pekerja asing dalam sektor memerlukan dan hantar pulang lebihan yang tak diperlukan.