Mohd Nor Wahid
JEJAMBAT yang baru dibina menghubungkan Jalan Tun Razak dengan Bulatan Kampung Pandan sudah boleh digunakan, bermula esok.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, jejambat itu telah siap dan akan mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan.
“Jejambat ini juga bagi memberi laluan kepada pemandu yang keluar dari Jalan Bukit Bintang.
“Ia juga menghubungkan ke pintu masuk dan keluar lebuh raya MEX,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan jejambat itu, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Naza Engineering and Construction Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Hussin Abdul Hamid.
Shahidan berkata, rancangan sedang dibuat untuk menghubungkan jejambat itu ke Lebuhraya Setiawangsa-Pantai yang sedang dalam pembinaan.
Projek bernilai RM492.5 juta itu mula diilancarkan pada 20 Julai 2017 yang sepatutnya siap pada 8 Julai 2019.
Bagaimanapun, projek itu mengalami beberapa kelewatan, antaranya termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Jejambat tiga lorong itu sepanjang 2.8km bermula di hadapan kelab Golf Diraja Selangor sebelum berakhir di Kampung Pandan. -Wacanakini