Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Jangan mudah melatah dan sempit berfikir apabila menerima sebarang berita tular.
Justeru, rakyat diingatkan untuk sentiasa mendidik diri dengan menyiasat kesahihan dan keabsahan berita sebelum mempercayainya lebih awal.
Katanya, pertimbangan waras harus dilakukan terlebih dahulu sebelum mempercayai sesuatu berita yang tular.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata rakyat seharusnya tidak mudah terperangkap dan terpengaruh dengan agenda tertentu yang boleh menggugat perpaduan rakyat menerusi berita tular yang belum sahih.
Oleh itu, kerajaan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan berhubung perkongsian dan penyebaran berita palsu dengan tujuan untuk memecah belahkan masyarakat.
Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan juga mengadakan beberapa program bagi memperkasa perpaduan rakyat sejajar dengan aspirasi kerajaan Keluarga Malaysia.