Oleh: ARRIAN ZAYNE
Umpama sebuah acara bersejarah tercipta Debat Dato Sri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yng berlangsung semalam memiliki bahangnya tersendiri.
Disiarkan secara langsung menerusi beberapa facebook media nasional seperti Malaysia Gazette dan Sinar Harian, hangat gelanggang debat antara dua figura politik itu tidak berhenti semalam.
Malahan, pentas yang menyatukan dua tokoh politik itu untuk duduk bersemuka terus menjadikan rakyat seluruh negara mencernakan pelbagai pandangan dan komentar serta ulasan masing-masing yang menghujani di platform media sosial hari ini.
Ada dalam kalangan netizen berpendapat perdebatan yang diluahkan oleh kedua-dua tokoh ini merupakan hantaran-hantaran lama dalam facebook masing-masing yang sebut semula menjadi hujah untuk ‘berperang’.
Jelas dilihat juga tiada provokasi ganas terbit daripada kedua belah pihak malahan Anwar dan Najib bersifat mengutarakan pendapat sendiri untuk menyelesaikan masalah serta ingin melakukan yang terbaik kepada rakyat dan negara.
Sementara dapat diamati juga jurang Najib dan Anwar adalah Najib ingin membawakan pembangunan baharu kepada Malaysia sementara Anwar menggariskan langkah dalam urus tadbir untuk mengendalikan kerajaan.
Seperti Najib menyentuh ‘cash is king’ dan bantuan tunai adalah terbaik untuk rakyat manakala bagi Anwar rombakan struktur pentadbiran negara perlu dibuat bagi memisahkan rakyat daripada kemiskinan.
Ada masa bertembung lidah dalam beberapa isu selain Sapura namun ternyata kedua-dua mereka mempersoal sekali gus mengkritik fasa politik ketika diterajui oleh Tun Dr Mahathir.
Kesimpulannya, gelanggang antara mantan Perdana Menteri dan Presiden PKR merupakan platform kedua-dua mereka membentangkan idelistik dan nasionalistik masing-masing untuk kesejahteraan Malaysia.
Siapa pemenang masih lagi menjadi tanda tanya namun terang lagi bersuluh Najib kekal menang di mata pengikutnya begitu juga Anwar dijulang oleh pelaung reformasi.