Oleh Tun Puteh Wanti
Satu undang-undang baharu perlu digubal, Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu diberi berkuasa menolak lantikan orang-orang politik yang mengetuai sektor awam.
Berbanding amalan sekarang, menteri boleh melantik dan membuang mana-mana pegawai yang tidak disukai.
Pada malam Debat Perdana Jumaat lalu, Datuk Seri Najib Razak terlepas pandang bahawa mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador yang juga telah pun bersara kembali sebagai lantikan politik mengetuai pasukan penyiasatan terhadap beliau.
Pada masa minggu terakhir Hamid Bador tamat kontraknya sebagai IGP, bagai menepuk air di dulang terpecik muka sendiri dengan mendakwa wujud campur tangan politik yang telah mengganggu tugas-tugas polis.
Sebenarnya dalam konteks Malaysia, mengapa orang suka berpolitik?
Ini kerana politik adalah jalan pintas memiliki jawatan daripada ‘no body kepada somebody.
Daripada kerja biasa seperti pemandu tiba-tiba menjadi pegawai khas Menteri. Daripada miskin tiba-tiba dapat lot kedai, jadi Ahli Majlis.
Daripada pendaftaran syarikat RM2 tiba-tiba memperolehi kontrak perbekalan kontrak kerajaan, syarikat swasta diberi kuasa memproses permit Imigresen sehinggakan wajah beruk pun boleh memperolehi permit.
Ia satu ‘open secret’ bahawa kuasa menteri berlebihan ini banyak rosakkan urusan tadbir kerajaan.
Jadi tidak hairanlah segala kepincangan pentadbiran sektor awam seperti pertukaran pegawai, buang kerja, ‘cold storage’ dilakukan oleh pegawai yang tidak mahir menilai dan meletakkan sesuatu.
Contohnya, pada era Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, pasukan medianya yang dilantik secara kontrak telah menghantar ‘press release’ kepada semua agensi dalam Bahasa Mandarin.
Sekaligus ia mencabul peruntukan bahasa rasmi Bahasa Melayu yang menjadi dasar semua urusan kerajaan.
Berbalik kepada Debat Perdana, kedua pihak sibuk memberikan bayangan kononnya rakyat perlu memilih pemimpin yang berfikiran jauh.
Tetapi situasinya taring-taring politik yang sepatutnya dihilangkan.
18 bulan dalam tempoh pandemik kita melihat hanya Menteri Kesihatan dan Perdana Menteri sahaja yang mengadakan sidang media.
Siaran-siaran media pada masa itu tetap berlangsung dengan cerita berkaitan rakyat, PKP dan tidak disibukkan dengan berita pelancaran program kementeria lain sana sini.
18 bulan aman damai tanpa berita politik kecuali pada penghujungnya apabila mereka ini berebut kuasa menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin baharulah ada berita politik.
Sebagaimana banyak Keluarga Malaysia kehilangan ibu bapa dan anak akibat pandemik, kehidupan mereka tetap diteruskan, begitulah jua sepatutnya ia berlaku dalam situasi politik.
Rakyat boleh hidup tanpa majlis-majlis menteri yang menghabiskan peruntukkan.
Pada satu ketika dalam musim pandemik juga apabila rakyat membuat kempen kibar bendera putih kerana lapar, orang politik pula sibuk menghalang kerana mereka mahu hanya mereka sahaja dilihat sebagai hero penyelamat rakyat.
Menteri Besar Kedah ketika itu mengatakan siapa yang kibar bendera putih tidak akan diberi peruntukkan kerajaan dan akan disenaraihitamkan
Pentadbiran kerajaan tetap lancar dilakukan oleh KSN bersama KSU-KSU kementerian berkaitan.
Menteri KKM pula mengambil alih sidang media untuk menonjolkan kuasa malangnya banyak juga kesalahan-kesalahan bab prosidur yang diumumkan oleh sang Menteri bersifat ‘back fire’ kepada kerajaan.
Lebih 18 bulan rakyat Malaysia patuh kepada prosidur yang ditetapkan kepada penjawat awam kementerian berkaitan.
Kes pandemik pula melonjak apabila puak politik ini berkeras mengusahakan pilihan raya Sabah.
Segala prosidur baharu mulai dipersendakan rakyat termasuk ura-ura yang mahu dilaksanakan untuk mewajibkan pelitup muka dengan kelulusan SIRIM yang akhirnya ditunda ke tahun hadapan, bagaimanapun setelah rakyat membantah SOP mewajibkan pelitup muka kemudiannya dimansuhkan.
Najib pada malam Debat Perdana seharusnya membangkitkan iaitu isu Klinik 1 Malaysia yang terbukti membantu rakyat miskin di lokasi rakyat telah dibatalkan dan ditutup semua.
Mengapa sistem amalan politik Malaysia apabila seorang itu tiada lagi jawatan maka segala agensi-agensi atau usaha yang telah dibuat perlu dihapuskan, seolah-olah klinik 1 Malaysia itu adalah jasa peribadi Najib.
Lantikan politik juga menyaksikan beberapa menteri PH kekal dalam kerajaan hari ini dan melaksanakan polisi-polisi yang akhirnya dipersendakan rakyat.
Kesimpulannya Debat seharusnya mencadangkan penyelesaian isu menamatkan campur tangan politik dalam pentadbiran.