Oleh Fhatihah Zakinan
MELAKA : Seorang wanita sanggup terlibat dalam pelacuran kerana terdesak mendapatkan wang untuk dikirimkan kepada ibunya yang menjaga dua anaknya di Vietnam.
Kelakuan wanita itu, Nyuyen Thi Tuyen, 39, akhirnya mengundang padah sehingga dia didakwa mencari pelanggan bagi maksud persundalan dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu tunggal warga Vietnam berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan, dia didapati mencari langganan bagi maksud persundalan di Blok B2, Jalan Abadi 1, Taman Malim Jaya, jam 9 malam, pada 23 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya.
Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan.
Terdahulu, wanita yang diwakili peguam, Loong Meng Si memohon mahkamah mempertimbangkan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Katanya, tertuduh melakukan pekerjaan itu kerana terdesak bagi mendapatkan wang untuk dikirimkan kepada ibunya yang menjaga dua anaknya berusia 10 dan 11 tahun di Vietnam.
“Tertuduh rasa bersalah selepas didakwa dan saya memohon hukuman denda paling minimum dikenakan,” katanya.