Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Semakin popular nama seseorang itu, dia akan diangkat menjadi pemimpin, malah tidak mustahil bakal menjadi Perdana Menteri pula.
Kenyataan itu ditulis oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hantaran dimuatnaik di Facebooknya, pada Rabu.
Ia dipercayai merujuk bahawa jika kerap menyebut nama Najib, tidak mustahil Najib boleh kembali menjadi Perdana Menteri.
Tun Mahathir dalam tajuk ringkas pada hantarannya itu, SEBUT NAMA, menulis ayat pada setiap baris baharu secara pendek dengan menafikan nama mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib supaya beliau menjalani hukuman atas kesalahan yang didakwa terhadapnya oleh mahkamah, ketika ini.
Beliau menegaskan tidak perlu terus menyebut nama mereka yang berterusan melanggar undang-undang negara.
“Jangan sebut nama Najib kerap, Dia akan jadi lebih popular.
“Lupakan sahaja nama Najib. Lupakan dia curi duit. Lupakan dibicara dan didapati salah. Dia dihukum 12 tahun penjara dan denda dua ratus dua puluh million Ringgit (RM220 juta).
“Jangan sebut. Kalau sebut nama Najib dia akan lebih disukai ramai. Orang yang popular dalam negara demokratik akan jadi pemimpin, jadi Perdana Menteri pun,” katanya dalam hantaran itu.
Walhal pada Februari lalu, Tun Mahathir yang juga Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu dilaporkan sering meratib nama Najib dalam surat pertama dan kedua untuk pengundi Johor dalam tempoh seminggu di akaun sama.
Najib yang membalasnya, turut keliru dengan pendirian Tun Mahathir kerana bukan satu, bukan dua kali namanya dipetik tetapi 10 kali di dalam isi kandungan satu setengah muka surat berkenaan.
Sementara itu, Tun Mahathir dalam hantaran sama menasihatkan orang ramai agar tidak ‘menegur’ apa sahaja isu yang berkaitan dengan mahkamah, kerana ia mungkin boleh disabitkan sebagai penghinaan kepada mahkamah khususnya berkaitan dengan Najib.
“Perdana Menteri boleh curi berbilion Ringgit. Jangan sebut nama pencuri (Najib) ini. Ia akan jadi popular, jadi Perdana Menteri dan curi duit lagi.
“Jangan sebut nama dia. Di mahkamah jangan sebut nama dia. Maka keadilan akan berlaku. Kena hukum. Tetapi tak payah jalan hukum. Diam sahaja. Jangan sebut nama dia.
“Kalau tak sebut nama orang yang salah, nak sebut nama siapa.
“Sebutlah nama siapa pun. Tak mengapa. Itu keadilan di Malaysia.
“Boleh tarik balik kes. Ada Peguam Negara (AG) untuk ini. Jika tak ada, tukar AG sahaja. Jangan sebut nama. Akan kena sue (saman) kerana menghina.
“Tak ada duit nak bayar peguam. Itu masalah awak (Najib). Undang-undang tentang tidak sebut nama masih berkuasa. Tak dapat bayar peguam masuk dalam sahaja. Itu undang-undang. Negara utama the Rule of Law, pemerintahan mengikut undang-undang. Kelentong sedikit dari undang-undang tak mengapa.
“Jangan tegur. Itu contempt of court, menghina mahkamah. Itu salah. Lebih baik lari ke negara lain. Jika tidak. Masuk dalam. Itu keadilan,” tulisnya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan mengesahkan tiada siasatan terbaharu terhadap Tun Mahathir.
Ia berikutan dakwaan Tun Mahathir akan disiasat, menerusi tulisan di Facebooknya, pada Isnin lalu dipercayai berkaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).