Oleh Tun Puteh Wanti
Bukan semudah ucapan pada perasmian majlis, “usahawan, anda boleh mohon TEKUN.”
Ini adalah pengalaman penulis sendiri yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan atas talian dengan produk jus minuman Jus Asunta sejak Mac 2020 iaitu ketika pandemik.
Ketika itu penulis baharu sahaja menerima pemberhentian dengan pampasan dari sebuah agensi media tempatan.
Kerajaan ketika itu pula mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di mana rakyat dihadkan pergerakan ke sana ke mari dan menjalankan tugas dari rumah.
Peniaga kecil-kecilan seperti pasar tani, pasar pagi, pasar malam atau penjaja tepi jalan terkesan teruk apabila mereka tidak boleh berniaga seperti biasa.
Demi survival, penulis gagahkan juga mencari nafkah dengan menjalankan perniagaan secara online, dengan mendapat resipi turun temurun Keluarga jus minuman ini dihasilkan.
Menggunakan sepenuhnya platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk mempromosikan produk buatan sendiri penulis.
Bagaimanapun ada kekangan di Facebook kerana beberapa perkataan tidak dibenarkan digunakan sehingga menyebabkan akaun disekat kadang-kadang sebulan.
Apabila platform FB, Instagram atau TikTok disekat sekaligus menjejaskan operasi perniagaan penulis yang diusahakan bersama kakak, juga seorang pencari nafkah keluarga.
Ketika itu sukar membuat permohonan kerana pergerakan terhad, hendak daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia pun susah.
Bagaimanapun penulis tabahkan hati meneruskan juga perniagaan ini demi sesuap nasi tanpa suntikan modal dari mana-mana agensi.
Penulis seorang ibu tunggal mencari makan untuk anak-anak menerusi bidang kewartawanan dan perniagaan kecil-kecilan.
Pada awal Januari lalu, apabila diumumkan permohonan untuk mendapat peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM), hati penulis berbunga riang.
Segala dokumen dilengkapkan Dan permohonan dihantar ke cawangan TEKUN Bandar Tasik Selatan tetapi kecewa apabila mendapat tahu agihan RM200 juta sudah selesai dan permohonan penulis sekali lagi gagal.
Alasannya apabila ditanya kerana peruntukan sudah habis.