MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan
tiada tindakan pengusiran penduduk Pangsapuri Sungai Baru Kuala Lumpur di bulan Ramadan ini.
Menurutnya, rundingan dengan penduduk akan diteruskan bagi mencari titik penyelesaian berhubung kemelut itu.
“Tidak, siapa kata kena pindah bulan Ramadan tidak. Ini adalah tafsiaran yang dikeluarkan pelbagai pihak, jadi kena ingat dalam Islam ini benda yang tak benar disebarkan hukumnya haram, tak baik.
“Termasuk pemberita yang menyebarkan berita tanpa melihat surat. Itu surat makluman bukan notis. Tidak akan berlaku perpindahan dalam bulan puasa, tidak mungkin berlaku.
“Mana mungkin kita keluarkan notis suruh mereka pindah sebelum raya,” katanya kepada media di Putrajaya, malam ini.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata tiada sebarang notis arahan perpindahan dikeluarkan, sebaliknya mengeluarkan surat berhubung pengambilan tanah oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Katanya, rundingan antara pemaju dan penduduk akan berlangsung esok bagi memboleh kerjasama dapat dibentuk bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Yang keluarkan surat PTG, semua pengambilan tanah libatkan PTG. Mereka keluarkan surat bukan notus.
“Mereka penduduk Wilayah, kita teruskan rundingan dengan pemaju dan penduduk. Esok ada pertemuan antara pemaju dan penduduk,” katanya. – END