Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membangkitkan kemarahan dalam kalangan netizen di akaun laman sosial berhubung denda terhadap individu dan syarikat berkaitan pelitup muka bukan perubatan yang gagal patuh piawaian itu, mulai semalam.
Malah, mereka masih keliru dengan kenyataan kementerian berkenaan.
Ada kalangan netizen meninggalkan komen mempersoal, bagaimana tindakan terhadap pembeli yang membeli pelitup muka terus dari luar, menerusi akaun Shopee atau Lazada, untuk kegunaan sendiri.
“Saya beli mask (pelitup muka) melalui Shopee dan Lazada untuk kegunaan saya sendiri, kebanyakannya adalah dibekalkan dari China maka adakah saya dikira sebagai PENGIMPORT INDIVIDU dan akan didenda RM100,000.00 kerana masks tersebut dihantar dari China dan saya tidak mendapatkan tanda SIRIM?,” soal pengguna Facebook, Mat Kamil Awang yang berkongsi sumber grafik daripada KPDNHEP.
Ada juga yang terpaksa menggunakan semua pelitup muka bukan perubatan tanpa cop SIRIM sebelum 4 Julai kerana bimbang dikenakan tindakan individu.
“Kerajaan bakal mengenakan denda RM100,000 kalau kita pakai pelitup muka tanpa cop SIRIM. Apa pilihan yang ada sekarang?” ciap seorang pengguna Twitter dengan jumlah pengikutnya seramai 21.3K.
Bagaimana pula, individu yang belum mempunyai syarikat kerana menjalankan jualan pelitup muka tanpa perubatan secara kecil-kecilan, adakah boleh didenda juga?
Kenyataan KPDNHEP masih mengelirukan orang ramai, siapa yang individu yang didenda berhubung pelitup muka tanpa perubatan yang tidak mempunyai cop SIRIM.
KPDNHEP hari ini menjelaskan, pihaknya hanya mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan yang tidak mematuhi standard piawaian keselamatan baharu.
Ia susulan daripada Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 yang telah diwartakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, pada 5 April 2022.
Ia menuntut kepada semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat permohonan perakuan dan penandaan SIRIM QAS International Sdn Bhd pada kotak atau bungkusan, mulai 4 Julai depan.
Jika gagal berbuat demikian, individu boleh berdepan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, mana-mana syarikat gagal mematuhi perintah itu bakal dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 manakala kesalahan kali.kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.
KPDNHEP menjelaskan, perkataan ‘individu’ merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan adalah orang perseorangan yang menjual pelitup muka bukan perubatan, bukan pemakainya.
Pihak kementerian tidak akan mengambil tindakan terhadap pemakai yang memakai pelitup muka bukan perubatan seperti yang didakwa netizen di laman sosial.
KPDNHEP sebelum ini dilaporkan berkata, perintah itu dikuatkuasa bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan sama ada dalam negara atau diimport mematuhi standard piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan (pelitup muka bukan perubatan) yang mudah dilihat pengguna.
“Penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard berkualiti dan selamat digunakan,” kata kementerian menerusi kenyataan itu, pada Selasa.
Kementerian itu juga berkata, perintah itu juga dibuat bagi mengatasi isu lambakan pelitup muka bukan perubatan tidak berkualiti di pasaran.