Oleh Fhatihah Zakinan
MELAKA : Sambutan awal bulan Ramadan kali ini, dicemari dengan kisah sepasang kekasih masing-masing berstatus suami orang dan wanita bujang dicekup selepas ‘kantoi’ berkhalwat di hotel bajet, Bandar Hilir, di sini.
Pasangan yang bekerja sebagai cef hotel, di sini, itu dicekup dalam operasi dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi, Ahad.
Pengarah JAIM, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, berdasarkan maklumat awam yang diterima, lelaki berusia 40-an dan pasangannya 20-an itu dicekup selepas kedua-duanya gagal menunjukkan dokumen pernikahan ketika operasi terbabit.
Selepas disoal siasat, Che Sukri berkata, pasangan itu mengaku menjalinkan hubungan sulit sejak setahun yang lalu dan kerap menginap bersama di hotel.
“Wanita terbabit memberitahu dia mengetahui status lelaki berkenaan adalah suami orang. Mereka mendakwa bekerja sebagai cef di hotel di sini dan menginap untuk berehat.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati, lelaki berkenaan mengakui sudah berkahwin, namun tinggal berjauhan dengan isteri dan tiga orang anak, sejak dua tahun lalu.
“Lelaki berkenaan mengakui sudah berkahwin tetapi isterinya menetap dan bekerja di Selangor bersama-sama tiga orang anak mereka,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Susulan kejadian itu, pasangan berkenaan dibawa ke pejabat JAIM, di sini, bagi membantu siasatan lanjut.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.