Oleh Tun Puteh Wanti
KUALA LUMPUR : Apabila anda mendaftar diri ke aplikasi syarikat pinjaman wang secara automatik anda tidak sedar aplikasi itu menyalin segala data senarai ‘contact dalam directory’ anda.
Jika anda terlambat bayar, anda akan menerima mesej dan semua nama dalam ‘contact’ itu memberitahu nombor telefon anda, nombor MyKad, gambar anda, video anda ke semua nama-nama dalam ‘contact’ telefon bimbit anda.
Ah Long sengaja menggunakan taktik ini memalukan ‘shame and game’. Malukan orang ini dan dapat ‘kutip’ duit.
Menerusi kaedah ini, ada rakan-rakan atau saudara mara yang kasihan akan membuat bayaran kepada Ah Long itu tetapi rekod bayaran tidak dikemaskini.
Malah, peminjam turut tidak tahu ada saudaranya yang sudah membantu, dan tuntutan kepadanya pula berterusan tanpa henti.
Cara ugutan siber ini menganggu keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat, hilang kepercayaan dan perhubungan antara satu sama lain.
Menerusi kes terbaharu mangsa dikenali sebagai Huzaimi dari Melaka menceritakan pengalamannya berurusan dengan pinjaman segera itu beberapa bulan lalu.
Katanya, dia sudah melunaskan bayaran berkenaan tetapi Ah Long itu masih mengganggu ‘contact list’ telefon bimbitnya dan menghubungi semua kenalannya seolah-olah dia belum bayar.
“Saya meminjam RM2,000 tetapi Ah Long itu hanya luluskan RM100. Saya pula perlu bayar balik RM400.
“Selepas bayaran RM400 masalah tetap tak selesai kerana saya tak dapat RM2,000.
“Hanya kerana RM100, saya menerima ‘spam ugutan’ seperti ini.
“Laporan polis telah dibuat beberapa bulan lalu tetapi gangguan masih berlangsung,” katanya.
Anehnya, pencerobohan data peribadi ini tiada tindakan oleh pihak berkuasa walaupun banyak laporan polis sudah dibuat oleh mangsa dan penerima whatsapp berbaur ugutan itu.
Ada peminjam diugut wajah keluarga mereka akan disebarkan.
Bagaimana kegiatan Ah Long boleh dibenarkan berlaku tanpa kawalan.
Kesannya, situasi ini menakutkan masyarakat sehinggakan semua nombor telefon tak dikenali takkan dijawab.
Penghantar barangan juga mendakwa orang ramai takut hendak jawab telefon kerana isu ini.