Oleh Mohd Nor Wahid
PUTRAJAYA : Setiap program yang bakal dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sepanjang Ramadan mestilah berkonsepkan untuk mendapat pengampunan Allah.
Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, setiap program diadakan adalah untuk kebaikan rakyat dan bukan semata-mata mendapat publisiti ramai.
“Kita buat program niat kerana Allah, kita nak membantu rakyat dan bukan buat untuk diketahui umum, kita akan buat program di sepanjang Ramadan dengan niat mendapat pengampunan Allah,” katanya.
Bagaimanapun, Shahidan mengakui setiap usaha kebaikan pasti ada pihak cuba mencari kesalahan atau kekurangan pihak kerajaan.
“Dalam usaha kita membuat baik, kita kena ingat akan ada benda yang tak baik mengiringi kita.
“Kita beritahu kita buat program kerana Allah dengan niat membantu. Tapi zaman moden ni kita tak boleh buat apa dah.
“Kita tak mahu cerita (kebaikan) yang dibuat, tapi terpaksa cerita. Sebab apa kalau tidak kebatilan yang datang. Kita nak kebenaran, yang kita buat ini kebenarannya dan kalau kita tidak cerita nanti orang tersalah tafsir dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup program bual bicara sempena kedatangan Ramadan di Putrajaya, hari ini.
Program yang dikendali oleh moderator Amin Idris itu menjemput penceramah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Datuk Badli Shah Alauddin.
Dalam pada itu, Shahidan turut mengajak warga Putrajaya berlumba-lumba membuat kebaikan pada bulan Ramadan ini.
“Kita kena buat kebaikan itu walaupun ada yang menghalangnya sehingga buat kebaikan ini menjadi budaya kita satu hari nanti.
“Kebaikan itu akan menjadi sebati dan tidak hanya untuk ramadan sahaja, semoga Allah mengampuni dosa kita,” katanya.