Oleh Nurman Nasyriq
JOHOR BAHRU – Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan polis turut merampas selaras senapang angin buatan sendiri berserta tiga bungkus peluru dan tiga bilah sabit di kawasan tepi Sungai Kampung Bakar Batu, di sini, tengah malam tadi.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah, keempat-empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 35 hingga 50 tahun.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun yang bertindak selaku transporter kepada keempat-empat suspek turut ditahan dalam serbuan berkenaan.
“Kesemua mereka ditahan ketika anggota polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta Perodua Bezza yang berada dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.15 tengah malam.
“Sejurus ditahan, keempat-empat suspek telah gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Muhd. Zailani berkata, soal siasat terhadap kesemua suspek yang berasal dari Surabaya, Indonesia itu memaklumkan senapang angin berkenaan digunakan untuk tujuan memburu.
Kesemua mereka dan barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Senjata Api 1960, Akta Bahan Letupan dan Kakisan dan Senjata Berbahaya serta Akta Imigresen 1959/63.
Muhd. Zailani turut meminta kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah termasuk penyeludupan kepada PPM menerusi talian 07-2372221 atau 07-2372222.