Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : “Beritahu mak dan ayah tak payah keluar duit beribu-ribu nak beli laptop (komputer riba) atau tablet,” demikian kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Jangan salah faham, niat menteri itu sebenarnya melalui usaha kerajaan yang memahami kepayahan ibu bapa tidak berkemampuan untuk membeli peranti mencecah ribuan ringgit.
Justeru, kerajaan menerusi inisiatif kementerian memperkenalkan Pakej Perantisiswa Keluarga Malaysia dengan pelaksanaan satu pelajar, satu tablet percuma bagi kelompok keluarga B40 di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti.
Annuar berkata, sebanyak 450,000 peranti akan diedarkan tahun ini secara berperingkat bermula Jun depan dan pelajar yang layak boleh membuat permohonan pakej bermula pada 15 April ini.
“Kementerian akan membuka satu portal khas, di mana pelajar termasuk di luar bandar daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) boleh memohon, terutama sekali yang menerima tawaran masuk universiti atau sedang belajar di politeknik atau kolej komuniti.
“Mulai 15 April ini buat saja permohonan kepada kementerian secara online (dalam talian) dan kerajaan akan berikan tablet percuma,” katanya berucap ketika Program Santai Menteri Komunikasi dan Multimedia Bersama Keluarga Malaysia Daerah Sandakan, Sabah, pada 26 Mac lalu.
Beliau malah memberi jaminan peranti yang akan diberikan nanti berkualiti tinggi dan bukannya jenis ‘cap ayam’.
Untuk pengetahuan, Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah antara inisiatif daripada Belanjawan 2022 kerajaan dalam menyediakan peruntukan sebanyak RM450 juta.
Bagi menjayakan program berkenaan, kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi terpilih yang menyumbang kira-kira RM65 juta.
Usaha itu sebagai langkah untuk memudahkan mahasiswa IPT awam/swasta mendapat kemudahan pembelajaran secara alam maya dan dimanfaatkan sebaiknya.
Kelayakan bagi permohonan program ini diberi kepada keluarga B40 yang mempunyai purata pendapatan seisi rumah di bawah RM4,850.
Selain itu, ia dikhususkan kepada kelompok sama yang sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda daripada universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).