KEMENSAH : Tiada siapa menyangka hasil jualan OTAi Burger Malaysia mampu mencecah RM38.4 juta setahun.
Dengan jumlah perolehan berkenaan, OTAi Group telah menyumbangkan semula jutaan ringgit sebagai zakat perniagaan mereka ke rumah anak yatim, fakir miskin dan Pusat Pungutan Zakat Selangor selain memanfaatkan rezeki itu untuk aktiviti kebajikan masyarakat.
Bermula 14 April ini, OTAi Group Malaysia (OGM) akan melancarkan konvoi agihan zakat ke enam negeri.
Sebanyak RM420,000.00 akan diagihkan kepada 1,200 fakir miskin ke 28 masjid di negeri Perak, Peneng, Kedah, Perlis selain Kuala Lumpur dan Selangor.
Presiden OTAi Group Malaysia Dr Suhaimi Hj Abas, 49 berkata, program agihan zakat itu dilancarkan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan sempena Ramadan dan persiapan mereka menyambut Aidilfitri nanti.
“Penerima zakat akan menerima wang tunai RM150.00 serta barangan makanan bernilai RM 200.00 bagi setiap orang.
“Kami akan serahkan bantuan berkenaan kepada pihak masjid untuk diagihkan kepada asnaf. Kami mahu mengangkat fungsi dan peranan masjid terbabit.
“Kami berharap lebih ramai penerima zakat ini akan menjadi pemberi zakat di kemudian hari,” katanya kepada Wacanakini.com.
OTAi bermaksud “Organisasi Tempat Ambil Ilmu” diasaskan oleh Dr Suhaimi yang telah memulakan perniagaan menjual burger sejak usianya 22 tahun.
Kini dibawah Kumpulan Syarikat OTAi terdapat lebih 300 usahawan francais OTAi Burger Malaysia, OTAi Foodtruck dan juga 10 syarikat yang menjalankan perniagaan pembinaan, kimpalan, jahitan, Mart, penjagaan kanak-kanak dan lain-lain.
Dr Suhaimi menambah, rezeki yang Allah bagi bukan semua milik kita.
“Ada sebahagian rezeki kita milik orang lain.
“Sebenarnya dengan keluarkan zakat dan sedekah Allah akan bagi lebih banyak lagi rezeki dan pasti kekayaan anda akan bertambah, itu janji Allah,” katanya.