LIMA Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Perbadanan Labuan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan empat pihak swasta bakal merubah wajah Labuan selepas ini.
Empat MoU melibatkan Perbadanan Labuan bersama Universiti Malaysia Sabah, IFC Capital Berhad, Tan Lan Holdings (M) Sdn. Bhd dan Gia Technology Limited serta satu di antara UW Global Inc. dari Indonesia dan European Credit Investment Bank Ltd.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Shahidan Bin Kassim telah menyaksikan sesi menandatangani MoU bagi dua inisiatif Inisiatif Pelancongan Pendidikan di WP Labuan antara Perbadanan Labuan dan Universiti Malaysia Sabah serta Inisiatif Pembangunan Pelaburan Sektor Kewangan Untuk Menarik Pelabur Tempatan dan Asing ke WP Labuan antara UW Group Inc. dan European Credit Investment Bank Ltd.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) KWP Datuk Ruzain Idris dan Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien.