Hari ini 17 Ramadan, Nuzul Quran, hari mengingati turunnya kitab suci Al-Quran kepada Nabi Muhammad Abdullah, nabi junjungan umat Islam seluruh dunia.
Agama Islam adalah berdasarkan hanya satu kitab Al-Quran sahaja iaitu yang diturunkan oleh Tuhan Yang Esa melalui malaikat Jibrail, mengikut sejarahnya kepada orang Arab di Tanah Arab dalam bahasa Arab yang mudah kepada nabi dari kalangan Arab iaitu Nabi Muhammad.
Namun sebagaimana yang diketahui ramai khususnya di kalangan pengkaji kitab dan salah seorangnya Profesor Hatun Tash pada tahun 2016 mendapati terdapat 26 versi Quran.
Yang kemudiannya membentangkannya di London, England menerusi tajuk “Speakers Corner”, dengan bantuan Dr. Jay Smith.
Dua profesional ini mengambil masa bertahun-tahun mengkaji sejarah Islam dan Quran.
Ironi pula ketika isu ini ditulis, pada 18 April 2022, seorang peniaga online dikenakan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Tumpat Kelantan atau Negeri Serambi Mekah (kerana ramai agamawan lahir di sini) atas dua pertuduhan memiliki 916 naskah al-Quran tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Januari lalu.
Sebagai contoh, Al-Quran yang diterimapakai dan diedarkan ke seluruh Malaysia adalah yang mengandungi 6236 ayat. Sebagai panduan, adakah ini Quran asal yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Abdullah itu?
Ilmu Fawasil ialah ilmu penentuan bilangan ayat Al-Quran semuanya sepakat secara purata 6,200 ayat dan mengikut tujuh ulama Fawasil kesemuanya.
Al Madanu Awwal mengatakan Quran ada 6214 atau 6217 ayat, Al Madanu Al Akhir kata 6214 ayat, Al Makkiy kata 6210 ayat, Al Bashriy kata 6204 ayat, Al Dimasyqi kata ada 6226 ayat, Al Himshi kata ada 6232 ayat manakala Al Kufi kata ada 6236 ayat. Bilangan bagi mushaf al Kufi yang digunapakai di Malaysia ketika ini.
Menerusi kitab Aqidah Au Najin, Quran ada 6666 ayat bukan merujuk jumlah bilangan ayat tetapi dipecahkan berdasarkan topik.
Memetik ayat Quran, sebagaimana janji Allah bahawa Dia yang akan menjaga dan mengekalkan Quran yang asal itu sebagaimana firman Nya.
SESUNGGUHNYA KAMILAH YANG MENURUNKAN AL-QURAN DAN KAMILAH YANG MEMELIHARA DAN MENJAGANYA.Quran:15:9.
Panduan yang diberikan Nya amatlah mudah iaitu
PATUTKAH MEREKA TIDAK MAHU MEMIKIRKAN ISI AL-QURAN? KALAULAH AL-QURAN ITU BUKAN DARI SISI ALLAH, NISCAYA MEREKA AKAN DAPATI PERSELISIHAN (PERCANGGAHAN) YANG BANYAK DIDALAMNYA. Quran:4:82.
Sebagai menyokong soalan ini, berdasarkan kepada panduan ayat Quran tersebut, saya telah membuat analisis kewartawan dan mendapati memang wujud percanggahan.
Bukanlah skop disini untuk menyenarai dan menjelaskan semuanya, namun memadailah dinyatakan rumusan beberapa diantaranya.
Sebagai contoh yang menjadi pertanyaan ramai perkataan pertama yang diturunkan dan disampaikan kepada Nabi Muhammad Abdullah ialah IQRAK yang bermakna BACALAH, tetapi susunan dalam Quran ketika ini perkataan pertamanya ialah BISMILLAH.
Surah pertama yang diturunkan adalah surah Al-ALAQ tetapi surah pertama adalah surah AL-FATIHAH.
Semua tahu bahawa Quran adalah firman Allah atau kata-kata Allah yang tidak boleh diubah, maka ayat yang berbentuk doa pula seperti Tunjukkanlah aku jalan yang lurus adalah ciptaan manusia ketika menghadap tuhannya.
Pembukuan mushaf atau kalam Allah ini selesai pada 652 M atau 19 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Salinan mushaf Uthmani dikirimkan ke pelbagai wilayah kaum Muslimin yang semakin luas ketika itu, sekali gus menjadi rujukan utama.
Antara yang masih wujud sehingga kini ialah mashaf Quran Tashkent tulisan kufic milik Khalifah Ketiga, Saidina Uthman Affan yang disimpan di Perpustakaan Kompleks Hast-Imam, Uzbekistan. Salinan itu hanya 338 halaman, iaitu sepertiga daripada isi al-Quran keseluruhannya.
Ketua Jabatan Pembangunan Pelancongan Republik Uzbekistan, Mirzakhidov M Mirtolib, berkata mushaf itu ditulis di atas kulit rusa dan bertulisan huruf Arab bergaya Hijazi, iaitu gaya penulisan bahasa Arab pada masa itu.
Quran Biru yang tercantik dan tertua di dunia, yang dipercayai ditulis pada kurun ke 9 atau awal kurun ke 10, dipercayai ditulis untuk Masjid di Qairawan di Tunisia.
Tahukah anda kerajaan Islam dari wilayah Arab iaitu Tunisia mengharamkan poligami sejak tahun 1956 berdasarkan ayat 129 surah An Nur iaitu ” Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian”.
Sebenarnya kita melihat banyak berlaku kekeliruan, banyak fahaman yang berlaku apabila versi Quran yang pelbagai ini tidak diselaraskan menjadi satu.
Berbalik kepada zaman sekarang, kita melihat banyak berlaku perpecahan umat Islam sebagai contoh fahaman Qadiani, Syiah, Wahabi yang meluas di negara ini sebagaimana dilaporkan media, berpunca daripada menerima dari pihak yang salah, salah faham dalam menafsir ayat Quran atau versi manakah yang digunapakai?
Terbaru pada 8 April lalu apabila Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar diamalkan oleh pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat selepas kajian semula dibuat.
Oleh itu, keputusan terdahulu pada tahun 2000 berkaitan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah ini tidak lagi terpakai.
Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 pada 3 April 2000 memutuskan tarekat itu bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menegur Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
JAKIM dicadangkan bertindak sebagai badan Penyelaras Agama Islam (JAPIM) iaitu menyelaras perbezaan Islam setiap negeri di Malaysia ketika ini kepada satu hala berdasarkan al-Quran yang satu.
Disarankan juga pakar agama membentangkan hasil kajian ilmiah masing-masing menerusi dialog terbuka khas diadakan secara berkala sepanjang tahun.
Ia bertujuan menjelaskan satu persatu soalan dan kekeliruan ummah secara umum agar semua maklumat diterima, dan bukan langsung menghukum salah mereka yang tidak tahu, yang mencari-cari jalan paling benar atau yang ingin tahu kerana masih banyak persoalan tanpa jawapan.