Mohd Nor Wahid
KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) memandang serius dan akan mengambil tindakan segera untuk mengatasi kos penghantaran barangan yang naik mendadak di Labuan.
Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui dan tidak menolak kenaikan harga barangan di pulau berkenaan berpunca daripada kos penghantaran berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan syarikat perkapalan yang menghantar barangan ke Labuan dulu kini lebih cenderung beroperasi di negara-negara yang lebih mendatangkan keuntungan kepada mereka.
“Jadi atas sebab itu lah ianya menjadi monopoli oleh satu pihak saja syarikat perkapalan menghantar barangan ke Labuan.
“Kita tahu bila dah dimonopoli, harga atau kos penghantaran syarikat boleh demand, dan ini tidak baik, kementerian memandang serius perkara ini dan akan membuat tindakan serta merta berkenaan harga barang tinggi di Labuan,” katanya.
Shahidan ditemui media selepas selesai menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Labuan dengan empat pihak swasta serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Mengulas lanjut, Shahidan menjelaskan, KWP akan melakukan tindakan proaktif untuk mengatasi isu berkenaan termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Syarikat kapal kargo, pengantaran ni melihat tawaran menarik daripada negara-negara lain, menyebabkan operator kita berkurang.
“Kita kehilangan ramai operator, kita mahu biarlah operator tempatan lebih banyak, tapi jika operator antarabangsa yang mahu berbuat demikian saya akan berbincang dengan pihak MOT untuk melihat aspek-aspek ini.
“Operator yang sedikit akan membentuk monopoli, kalau monopoli maka harga yang ditawarkan menjadi tinggi dan mahal, tapi kalau ada ramai operator, harga akan lebih stabil,” katanya.